Oleh MUKHATAR A RAHMAN
KEMAMAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan sebanyak RM971,000 bagi membina baharu dan membaik pulih rumah penduduk sepanjang tahun lalu.
Pengurus Besar Ketengah, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, menerusi Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) itu sebanyak sembilan unit rumah dibina baharu manakala 13 buah rumah telah dibaik pulih.
Menurut beliau, daripada RM971,000 itu, sebanyak RM317,000 bagi membina tiga unit rumah baharu dan empat buah rumah lagi telah dibaik pulih melibatkan rumah orang asli di Sungai Pergam, Kemaman.
Katanya, bagi pembinaan rumah baharu, kos diperuntukkan untuk sebuah rumah ialah RM79,000 manakala untuk baik pulih pula sebanyak RM20,000 sebuah.
“Program tersebut diperkenalkan bagi memastikan keluarga yang layak dapat menikmati kediaman yang lebih selesa dan
kondusif,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan tiga buah rumah kepada penduduk orang asli pada Majlis Penyerahan Program Perumahan Rakyat Sejahtera, di Kampung Sungai Pergam di sini petang tadi.
Tengku Ahmad Nadzri menambah, bagi tahun 2026, Ketengah turut menerima peruntukan khas sebanyak RM440,000 bagi membaik pulih 22 unit rumah kediaman dalam Parlimen Dungun.
Sementara itu, salah seorang penduduk Orang Asli yang juga penerima rumah, Mohd Khairul Nizam Mohd Zaidi berkata, dia bersyukur terpilih menerima bantuan rumah melalui program berkenaan.
“Sebelum ini saya menumpang sementara di rumah bapa saudara. Saya bersyukur apabila dapat rumah baharu. Terima kasihlah Ketengah dan KKDW,” katanya.
Tok Batin Kampung Sungai Pergam, Roselan Ismail berkata,, sebagai wakil kepada penduduk dia marakamkan penghargaan terima kasih atas sumbangan tersebut dan berharap lebih ramai generasi kedua orang asli akan dapat manafaat itu pada masa akan datang.
“Kami berharap Ketengah dan KKDW dapat menyalurkan peruntukkan lebih tinggi bagi pembinaan rumah baharu kepada Orang Asli,” ujarnya. – Suara Timur
