Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seramai 340 graduan Kolej Universiti TATI (UC TATI) diraikan setelah berjaya menamatkan pengajian pada Majlis Konvokesyen Ke-25 UC TATI di Dewan Canselor kolej universiti itu, hari ini.
Graduan UC TATI tersebut menerima anugerah Ijazah Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan
dan Fakulti Komputer, Media dan Pengurusan Teknologi.
Antara yang mencuri perhatian pada majlis
konvokesyen tahun ini ialah kisah seorang graduan dari Kemaman, Ahmad Bahauddin Kamal Baharin, 27, yang berdiri di atas pentas tanpa kehadiran kedua ibubapanya di sisi.
Ibunya, Allahyarham Wan Najmiah Wan Ali, meninggal dunia akibat penyakit cyst pada tahun 2019, manakala bapanya, Kamal Baharin Alias, meninggal dunia ketika beliau berusia 26 tahun.
Bagi Ahmad Bahauddin, hari konvokesyen ini menjadi saat paling bermakna dalam hidupnya dan menjadi satu penghormatan kepada pengorbanan kedua-dua arwah ibu bapanya dan bukti bahawa usaha gigih mampu mengatasi kehilangan.

Beliau yang pernah menuntut di pondok sejak usia 15 tahun, kini berhasrat untuk menceburi bidang keusahawanan sebagai langkah untuk berdikari dan menyumbang kembali kepada masyarakat.
Ketika ditemui Suara Timur, Ahmad Bahauddin berkata, walaupun pernah bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran di universiti lain, namun keadaan memaksanya memilih UC TATI kerana kesihatan Allahyarham bapanya merosot yang memerlukan perhatian keluarga.
“Alhamdulillah UC TATI merupakan salah satu universiti yang terdekat dengan kediaman keluarga dan memudahkan beliau berulang alik dari rumah ke tempat belajar.
“Bagi saya modul pembelajaran di semua universiti hampir sama sahaja, ia bergantung kepada bidang apa yang kita ambil,” katanya.
Ahmad Bahauddin yang merupakan penerima Anugerah Graduan Terbaik Program Bachelor of Manufacturing Engineering Technology (Tooling) With Honours berkata, di UC TATI semua tenaga pengajar baik baik belaka dan sering memberi tunjuk ajar bila diperlukan tanpa jemu.

“Dari segi pasaran kerja, UC TATI banyak melahirkan graduan yang berkualiti tinggi dan ketika pratikal dengan sebuah syarikat swasta, saya diberi tanggungjawab memimpin rakan sebaya dalam mengendalikan projek,” katanya.
Beliau yang kini berkerja sebagai Project Engineer di syarikat di Kuala Lumpr dan kini adiknya, Afiqah Badriah mengikuti jejak menyambung pelajaran di UC TATI sejak tahun lepas.
Bagi Ahmad Bahauddin, kejayaan ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi juga warisan kasih dan semangat kedua ibu bapanya yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dalam setiap langkahnya.
Sementara itu, Rektor UC TATI, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid, dalam ucapannya menegaskan, Majlis Konvokesyen Ke-25 ini bukan sekadar pengiktirafan akademik, tetapi juga simbol kepada ketabahan dan semangat pelajar menghadapi cabaran dalam mencapai kejayaan.
“Kisah seperti Ahmad Bahauddin membuktikan bahawa pendidikan bukan hanya tentang pencapaian akademik, tetapi juga tentang membentuk jati diri, ketahanan emosi dan semangat untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut menambah, UC TATI terus komited melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri dan negara.
“Graduan UC TATI merupakan aset penting kepada pembangunan negeri Terengganu dan Malaysia secara keseluruhan.
“Mereka adalah tenaga muda yang akan memacu kemajuan dalam bidang teknikal, keusahawanan dan sosial,” tambahnya.
Majlis yang dihadiri oleh keluarga, pensyarah dan warga universiti itu diakhiri dengan upacara simbolik pelontaran topi graduan melambangkan penutup perjalanan akademik dan permulaan kepada cabaran dunia sebenar.
Perasmian Majlis Konvokesyen Ke-25 UC TATI disempurnakan oleh Canselor UC TATI, Kamaluddin Abdul Rashid. – Suara Timur
