MELAKA: ‘Majoriti yang diam sudah bersuara’ – Demikian rumusan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh susulan kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak, semalam.
Beliau menegaskan, pilihan yang dibuat suara majoriti yang diam di peti undi yang memberi kelebihan kepada calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, secara tidak langsung menafikan kutukan serta kata-kata yang memperlekeh UMNO dan BN.
“Kita dikutuk, kita diperlekehkan, kita dikatakan tidak mempunyai taring lagi… tetapi kita kekal diam, tenang dan teruskan perjuangan kerana kita percaya kita bukan seperti yang dikatakan mereka.
“Diam bukan bermakna lemah… diam bukan bermakna mengaku kalah… dalam diam kita mengatur langkah… dalam diam kita bermuhasabah dan membaiki kelemahan.
“Kerana yang diam itu telah bersuara di peti undi,” katanya melalui satu muat naik di Facebook.
BN semalam meneruskan legasi di DUN Ayer Kuning apabila Mohamad Yusri yang mewakili BN menang dengan majoriti lebih besar melalui saingan tiga penjuru, menewaskan wakil Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Dalam pada itu Muhammad Akmal ketika mengulas mengenai suara majoriti yang diam berkata ia sebenarnya adalah majoriti yang memerlukan politik yang baharu, politik yang matang dan politik yang membina minda rakyat
“Terima kasih kepada semua pengundi Ayer Kuning dan kepada semua jentera yang telah memenangkan BN.
“Kita teruskan bermuhasabah dan perbaiki kelemahan, insya-Allah rakyat mampu menilai… The silent majority has spoken,” katanya. – Berita Harian