KOTA BHARU: Sebanyak 76 daripada 128 jeti haram di sepanjang Sungai Golok, bermula dari Pengkalan Kubor hingga Rantau Panjang masih aktif digunakan, termasuk oleh penyeludup.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata 76 jeti berkenaan masih aktif digunakan orang ramai kerana terletak berdekatan kediaman penduduk.
Baki 52 jeti haram lagi, katanya, dikesan sudah tidak aktif atas beberapa faktor termasuk perubahan struktur berikutan dijadikan tambatan banjir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Kesemua jeti haram ini akan dirobohkan bagi mengekang penyeludupan. Perkara itu akan dibincangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Pejabat Tanah dan Jajahan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Polis Kelantan sudah menerima surat kebenaran daripada kerajaan negeri beberapa hari lalu untuk merobohkan semua 128 jeti haram berkenaan, termasuk di tanah persendirian dengan gerakan terbabit akan dimulakan dalam masa terdekat.
Kelmarin, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dilapor berkata, kerajaan negeri melalui PBT akan memberi notis kepada pemilik jeti haram berkenaan dalam masa terdekat sebelum struktur itu dirobohkan.
“Dalam ratusan jeti berkenaan, ada (dibina di tanah) milik individu dan ada juga tanah rizab sungai. Bagi milik individu, kita akan berikan mereka notis. Perobohan jeti haram itu akan dilaksanakan PBT bersama pihak berkuasa termasuk PDRM.
“Objektif utama jeti haram dirobohkan untuk memastikan aktiviti yang bersifat penyeludupan (dapat dihentikan). Kita setuju (roboh jeti haram) untuk memastikan sempadan negara kita bersih daripada aktiviti penyeludupan termasuk dadah.
“Memang dadah masuk ke Malaysia melalui Kelantan dan kita ‘frontliner’ (barisan hadapan) sebab itu kita paling terkesan. Jadi orang pertama terkesan,” kata Mohamed Fadzli.
Dalam pada itu, beliau mengakui ada kemungkinan pemilik jeti haram bersetuju dan tidak bersetuju dengan tindakan perobohan itu, namun kerajaan negeri memikirkan kemaslahatan kepada rakyat, negeri dan negara.
“Perobohan jeti haram akan bermula dengan kadar segera. Perobohan tidak akan diberikan sebarang pampasan kerana pembinaannya dilakukan secara haram,” tambah Timbalan Menteri Besar Kelantan. – Berita Harian