Home NegeriOperasi pemadaman kebakaran hutan di Kuala Abang diteruskan

Operasi pemadaman kebakaran hutan di Kuala Abang diteruskan

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Operasi pemadaman api kira-kira 34 hektar hutan yang terbakar berhampiran Kampung Kuala Abang, Dungun, di sini diteruskan pada hari ketiga semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Yahaya Hanafi berkata, operasi hari ini turut menggunakan bantuan unit udara sebuah helikopter yang diterbangkan dari Pengkalan Udara Bertam bersama lapan pegawai.

“Khidmat helikopter digunakan bagi melakukan teknik siraman air atau ‘water bombing’ dari udara di beberapa lokasi kebakaran yang agak sukar.

banner
HELIKOPTER digunakan untuk memadam kebakaran di hutan Kuala Abang, Dungun.

“Beberapa kawasan berkenaan tidak dapat diakses dengan kenderaan ekoran bentuk muka bumi dan hutan tebal,” katanya ketika ditemui Suara Timur semalam.

“Kita dapat mengawal daripada merebak setakat ini kita dapat padam lebih kurang tujuh hektar daripada 32 hektar berlaku sedikit kemerebakan dalam dua hektar berhampiran dengan sekolah, jadi jumlah semua yang terbakar adalah 34 hektar setakat ini.

YAHAYA HANAFI

Menurut Yahaya, susulan tiupan angin dan cuaca yang terlalu panas hari ini, kebakaran berkenaan telah merebak dengan cepat sehingga dua hektar lagi namun bomba berjaya mengawalnya.

Ujarnya, operasi yang masuk hari ketiga itu telah membabitkan seramai 56 pegawai dan anggota dengan dibantu penduduk kampung.

Operasi hari ini pihak bomba turut memberi tumpuan dengan mengawal kebakaran hutan berdekatan kawasan sebuah sekolah bagi memastikan ianya tidak merebak.

KEADAAN kebakaran yang berlaku di Hutan Kuala Abang, Dungun.

“Sehingga hari ini bomba berjaya memadam kira-kira tujuh hektar kawasan kebakaran dan menjangkakan keseluruhannya dapat dipadam dalam masa tiga atau empat hari lagi,” katanya.

Kebakaran hutan berkenaan dipercayai berlaku susulan wujudnya pihak tidak bertanggungjawab yang dikatakan melakukan aktiviti pembakaran terbuka menyebabkan api merebak dengan cepat ke hutan simpan bakau berhampiran kampung mereka. – Suara Timur

Tinggalkan komen