TUMPAT: “Bila tiada wang, anak-anak makan nasi goreng sahaja,” kata Suhaida Shafiin, 43, yang juga ibu tunggal di Kampung Kepala Batas di sini, menyebabkan mereka sentiasa ikat perut.
Suhaida berkata, sejak bercerai hampir empat tahun lalu, dia menjadi tulang belakang menyara tujuh anaknya yang berusia empat hingga 21 tahun dan pernah bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di bandar Tumpat.
Namun katanya, dia terpaksa berhenti kerja kerana sukar untuk menguruskan anak-anak apabila anak sulungnya menghadapi tekanan perasaan dan tidak mampu menguruskan adik-adiknya ketika dia keluar bekerja.
“Disebabkan itu, saya terpaksa berhenti kerja dan kini menyara hidup dengan menghasilkan kek dan sambal bilis yang dijual secara kecil-kecilan melalui aplikasi WhatsApp,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.
Suhaida berkata, empat anaknya masih bersekolah dengan seorang di sekolah menengah manakala tiga lagi bersekolah rendah dan kelengkapan persekolahan mereka untuk pembukaan sekolah baru-baru ini tidak mampu dibeli.
Katanya lagi, nasib baik ada pihak yang sudi membantu membelikan kelengkapan sekolah itu dan dia hanya menumpukan untuk bayaran yuran dan pembelian buku.
“Itu pun hanya separuh (yuran) sahaja yang baru dibayar kerana saya tidak mampu dan sudah dimaklumkan kepada pihak sekolah sebaik wang hasil jualan kek dan sambal bilis sudah mencukupi, saya akan langsaikan baki bayaran.
“Dua anak yang berusia 10 dan 11 tahun turut bawa 10 bekas kek untuk dijual di sekolah dengan RM1 satu bekas.
“Mereka akan jual kepada rakan-rakan dan ada juga guru yang membeli kerana simpati. Hasil jualan itu akan dibawa pulang selain menggunakannya sedikit sebagai wang saku,” katanya sambil memberitahu pendapatan bersih yang diperoleh sekitar RM600 sebulan.
Terdahulu mereka menerima kunjungan kumpulan aktivis masyarakat Asnaf Hunter yang diwakili Engku Mohd Razali Engku Kadir yang menyerahkan bantuan barangan dapur serta wang zakat.
Suhaida berkata, banyak lagi keperluan persekolahan anak belum disediakan meskipun menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah skim Bantuan Kanak-kanak (BKK).
Katanya lagi, rumah sewa dengan kadar RM350 sebulan juga ada tunggakan tiga bulan dan berharap dapat menyelesaikannya secepat mungkin.
“Saya hanya mampu berusaha setakat termampu dan apa yang saya paling perlukan sekarang adalah peralatan membuat kek seperti mesin adunan dan ketuhar lebih besar selain sedikit modal pusingan supaya dapat dijalankan tanpa masalah,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh membuat sumbangan menerusi akaun Bank Islam milik Suhaida 03148020318321. – Metro
