Mahkamah dan Jenayah Negeri

Banglo pesta gay diserbu di Kelantan

KOTA BHARU – Seramai lebih 20 lelaki yang menyertai pertemuan kumpulan songsang di sebuah rumah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini terkejut apabila kediaman tersebut diserbu polis pada bulan lalu.

Serbuan dijalankan kira-kira pukul 1 pagi pada pertengahan bulan lalu selepas polis menjalankan intipan awal di rumah banglo tersebut yang dipercayai menjadi sarang untuk kumpulan tersebut berkumpul.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kegiatan pesta yang terdiri daripada golongan lelaki di rumah tersebut.

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, seramai lebih 20 lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an berada di dalam banglo berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, kesemua mereka mengakui bahawa berminat dengan kegiatan songsang atau gay. Mereka menjadikan rumah banglo itu sebagai tempat berkumpul untuk majlis makan malam.

“Penyertaan ke majlis itu juga percuma apabila ada antara mereka menghebahkan maklumat perjumpaan tersebut di media sosial,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, siasatan lanjut mendapati, lebih 100 lelaki berada di dalam rumah tersebut sebelum serbuan dijalankan dan jumlah itu semakin berkurang selepas waktu tengah malam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam banglo itu turut menjumpai ratusan kondom dan ubat virus kurang imun (HIV).

“Siasatan awal mendapati, tiada sebarang kegiatan persetubuhan luar tabii berlaku di dalam rumah tersebut.

“Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan ada persediaan ke arah itu (persetubuhan luar tabii) berdasarkan kepada penemuan beberapa barangan di lokasi tersebut,” ujarnya.

Mohd. Yusoff berkata, kesemua individu itu ditahan untuk diambil keterangan sebelum kebanyakan daripada mereka dilepaskan.

Menurutnya, bagaimanapun, tiga daripada 20 lelaki itu dicekup atas kesalahan memiliki bahan lucah hubungan sejenis dan kes disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, polis mengambil serius kejadian itu dan akan menjalankan pemantauan berterusan terhadap kumpulan tersebut. – Kosmo

Related Posts