KEMAMAN: Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) berjaya mengumpulkan sebanyak 300 tan metrik barangan kitar semula sepanjang tempoh enam tahun menerusi operasi Pusat Pengumpulan E-Sisa dan Kitar Semula yang diwujudkan di lot perniagaan Binjai Souq sejak Oktober 2020.
Setiausaha MPK, Sharifah Khairuzita Tuan Kechil berkata, pusat berkenaan kini menjadi tumpuan penduduk daerah itu untuk menjual barangan e-sisa, bahan kitar semula serta minyak masak terpakai.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Pendidikan Alam Sekitar “Kitar Sisa Kita” yang berlangsung di Chukai 3R Centre, Jalan Feri Lama, di sini, baru-baru ini.

Pada program tersebut, MPK turut bekerjasama dengan beberapa agensi dan organisasi termasuk Tetrapak Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Sekolah Kebangsaan Seberang Tayor, Sally Global Sdn Bhd, Geng Plastik Ija dan Sahabat KEKKAL dalam usaha mendidik komuniti mengenai amalan penjagaan alam sekitar melalui pelbagai aktiviti dan model pembelajaran interaktif.
Beliau berkata. kejayaan tersebut membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa secara lestari semakin meningkat, sekali gus membantu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atas peruntukan yang disalurkan bagi menjayakan program melibatkan komuniti dan anak-anak warga Kemaman.

“Terima kasih juga kepada semua agensi dan pihak yang berganding bahu bersama MPK dalam menyampaikan ilmu berkaitan penjagaan alam sekitar kepada peserta program serta komuniti yang hadir. Alhamdulillah, program ini berjaya dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Sharifah Khairuzita berkata, program pendidikan alam sekitar itu merupakan antara inisiatif yang selaras dengan Pelan Pemerkasaan Kebersihan Daerah Kemaman 2022-2030, khususnya teras melestarikan alam sekitar dan mewujudkan perbandaran mampan serta berdaya maju.
Katanya, pelaksanaan program berkenaan turut menjadikan aktiviti kitar semula sebagai model pendidikan yang memberi manfaat kepada komuniti dan pihak berkuasa tempatan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Program ini menepati tiga skop utama Local Agenda 21 (LA21), iaitu alam sekitar, ekonomi dan sosial. Amalan pengasingan sisa di punca melibatkan bahan seperti kertas, plastik, kotak dan minyak masak terpakai memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi komuniti.
“Malah, aktiviti pengasingan sisa dan penghasilan produk baharu daripada bahan kitar semula berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kejayaan program kitar semula memerlukan komitmen dan penyertaan aktif daripada seluruh lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, katanya, pihak berkuasa tempatan di seluruh negara termasuk MPK terus melaksanakan penguatkuasaan kompaun serta-merta terhadap individu yang membuang sampah di kawasan awam mengikut peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Tindakan penguatkuasaan ini bukan semata-mata berbentuk hukuman, sebaliknya sebagai usaha mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan dan kelestarian persekitaran,” katanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan kemudahan yang disediakan dengan menjual barangan kitar semula yang ditawarkan pada harga antara RM0.40 hingga RM4 sekilogram mengikut jenis bahan.
Sharifah Khairuzita berkata, program “Kitar Sisa Kita” diharap dapat memberi impak positif dalam memperkukuhkan kerjasama antara MPK, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat.
“Harapan saya agar lebih banyak program kolaborasi seperti ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya. – Suara Timur
