Politik

‘Selagi Tuan Guru Hadi Abdul bersedia, kita semua terima’

KANGAR: Meskipun kesihatan Presiden PAS, Tan Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semakin uzur dan kerap keluar masuk hospital, namun keperluan terhadap kepimpinan beliau masih amat mendesak, demikian tegas Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin.

Dalam satu wawancara eksklusif menjelang Muktamar Tahunan PAS ke-71, Tuan Guru Hashim menjelaskan bahawa beliau belum mendengar sendiri pengesahan daripada Presiden PAS berkenaan sebarang hasrat untuk mengundurkan diri.

Namun, beliau mengakui ada desas-desus kebimbangan dalam kalangan ahli berkenaan tahap kesihatan Presiden parti yang sering uzur dan memerlukan rawatan.

“Saya tak dengar sendiri. Tapi bulan lepas ada dia (Tuan Guru Abdul Hadi) telefon, sembang pasal dia keluar masuk wad. Ada orang rasa kesian sebab dia dalam keadaan bukan perlu dipimpin untuk berjalan, tetapi perlu diusung untuk menghadiri majlis.

HASHIM JASIN

“Yang pentingnya orang PAS secara keseluruhannya masih perlu kepada kepimpinan dia, walaupuan fizikal sangat uzur keluar masuk wad. Di sini saya rasa pandangan ahli kita yang pertama perlu terus, ada yang rasa dia perlu rehat memandangkan isu kesihatan,” jelas beliau.

Tuan Guru turut berkongsi bahawa Tuan Guru Abdul Hadi ada dijemput ke Perkampungan Sunnah, tetapi ketika itu beliau perlu masuk wad, namun begitu beliau tetap menulis ucapan untuk diedarkan oleh pihak penganjur sebagai tanda komitmen beliau terhadap agenda perjuangan Islam.

Dalam nada yang penuh keinsafan, Tuan Guru Hashim yang juga merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang membandingkan ketahanan Presiden PAS dengan dirinya.

“Kalau saya, kalau sakit macam tu, saya tak buat apa dah. Tapi dia masih beri kuliah Jumaat, dan kalau kita ikuti pun, tak nampak beza masa sihat atau sakit. Fikrah dan penyampaian dia masih konsisten,” ujarnya.

Namun begitu, beliau tidak menafikan bahawa keputusan muktamad sama ada Tuan Guru Abdul Hadi akan terus memimpin atau berundur perlu dibuat dengan pertimbangan sewajarnya.

“Kita tak suruh dia berhenti, tapi kalau kerana keuzuran, jangan pula larang dia rehat. Kalau boleh terus, kita terus. Kalau tidak, kita guna fikrah dia,” tambahnya.

Kepimpinan ulama tetap jadi teras

Mengulas mengenai kemungkinan pertukaran pucuk pimpinan dalam PAS, Tuan Guru Hashim menegaskan bahawa sesiapa yang menggantikan Presiden haruslah datang daripada kalangan ulama haraki.

“PAS tak boleh sekadar baca kitab hukum hakam, tapi mesti juga faham suasana politik. Bukan tolak profesional, tapi kepimpinan mesti dari ulama, dan profesional boleh rujuk kepada mereka dalam suasana hari ini,” tegas beliau.

Beliau menyebut bahawa sekiranya berlaku kekosongan, antara tokoh yang dikenali baik oleh Presiden ialah Timbalan Presiden, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Namun, soal siapa yang akan mengambil alih bukanlah persoalan mendesak selagi Tuan Guru Abdul Hadi masih bersedia dan mampu memimpin.

“Selagi Tuan Guru Abdul Hadi bersedia, kita terima. Bukan macam parti lain tukar Perdana Menteri macam tukar baju,” sinis beliau yang sememangnya berpengalaman lama di dalam gerakan Islam dan politik.

Menyentuh dasar perjuangan PAS, Tuan Guru Hashim mengingatkan bahawa sejak ditubuhkan pada 1951, PAS adalah sebuah gerakan Islam yang dibina atas tiga rukun perjuangan iaitu Tauhid, Risalah dan Khilafah.

“Umno tubuh 1946, PAS tubuh lima tahun selepas itu kenapa, sebab Umno dilihat gagal nak tegakkan tiga rukun ni. Sebab itu PAS ditubuhkan,” jelas beliau.

Tuan Guru turut menegaskan bahawa perjuangan ini bukan soal mencari kuasa semata, tetapi soal memastikan dasar Islam ditegakkan.

“PAS tak pernah hilang walau sorang pun kerana dasar mentauhidkan Allah. Kita tak sama dengan parti lain yang boleh lompat sana sini,” tegasnya lagi.

Menurut beliau, pendekatan tarbiyah terus menjadi kekuatan PAS, termasuk menghidupkan pondok-pondok dan markas sebagai pusat tarbiyah sejak awal 1960-an di Perlis.

“Di Perlis kita ada hampir 100 markas kita hidupkan markas dan 90 peratus anak muda di Perlis sokong PAS sebab dasar kita,” katanya penuh yakin.

Peringat supaya tak rebut jawatan

Tuan Guru turut menyentuh soal pemilihan parti yang akan datang di mana beliau menjangka tidak akan berlaku pertandingan sengit kerana budaya merebut kuasa tidak wujud dalam PAS.

“Kalau ada dua calon pun, saya yakin salah seorang akan tarik diri. Kita fikir dua kali, sebab kita pegang tauhid. Itu bendanya yang jauh beza dengan parti lain,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa sistem syura akan memastikan hanya calon-calon yang layak, ikhlas dan berwibawa akan dipilih.

“Dalam PAS, nak jadi calon kena syura, kemudian negeri-negeri akan pilih. Kita jaga tauhid,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh keperluan mewujudkan ‘payung besar’ penyatuan ummah yang inklusif, tanpa menggadaikan prinsip.

“Kita tak boleh berpuas hati dengan perpaduan sekarang. Kita perlu lebih kemas, dan usaha ke arah perpaduan perlu diteruskan,” katanya.

Namun, beliau mengingatkan bahawa usaha perpaduan mesti berlandaskan kepada kejujuran dan dasar Islam, bukan semata-mata menyelamatkan karier politik individu.

Tuan Guru Hashim menegaskan bahawa Tuan Guru Abdul Hadi tidak pernah menjadikan jawatan sebagai cara menambah rezeki atau kedudukan untuk keluarga.

“Dia ada pertimbangan sendiri. Bukan untuk tambah rezeki keluarga. Itu yang akan melahirkan keberkatan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan keberkatan itu datang bersama kejujuran dan keikhlasan dalam perjuangan, sebagaimana ditunjukkan oleh tokoh-tokoh terdahulu seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“TGNA tak ambil kereta rasmi, tak duduk rumah rasmi, elaun rumah pun tak ambil. Sebab tu dia layak pimpin. Kalau pemimpin tak layak, akan kacau bilau habis,” tegasnya.

Tuan Guru menyeru seluruh ahli PAS dan umat Islam agar terus berpegang teguh kepada prinsip perjuangan yang diasaskan oleh PAS sejak penubuhannya.

“Selagi ada pemimpin yang pegang kepada dasar tauhid, risalah dan khilafah, kita sokong. Kalau salah, kita betulkan. Kalau betul, kita sokong. Itu ajaran Islam,” pesan beliau. – Harakahdaily

Related Posts