HULU TERENGGANU: UMNO Terengganu memberi jaminan hanya akan mempertaruhkan calon yang menjadi pilihan dan kegemaran (favourite) rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Pengerusinya, Datuk Rozi Mamat berkata, kriteria utama pemilihan calon kali ini tidak lagi terikat kepada pandangan pemimpin atasan semata-mata, sebaliknya berpaksikan kepada kemahuan pengundi di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, parti sedia melakukan perubahan termasuk menampilkan muka baharu, namun individu tersebut mestilah mempunyai kredibiliti untuk menang (winnable candidate).
“Kita mahu calon yang rakyat mahu, bukan pandangan orang atasan atau pandangan saya sahaja. Kalau rakyat sudah menolak, buat apa kita pilih lagi? Kita mahu menang, jadi kita perlu beri peluang kepada mereka yang disukai rakyat.
“Sama ada calon muda atau senior, latar belakang pendidikan tinggi atau tidak, penilaian akan dibuat dari segenap aspek. Jika seseorang itu tidak mempunyai pendidikan tinggi tetapi sangat diterima rakyat kerana sentiasa berkhidmat dan menabur bakti, kita akan nilai juga,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Rozi berkata, setiap Bahagian UMNO di negeri itu telah diminta mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga nama berpotensi bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dihantar kepada pucuk pimpinan tertinggi.
Jelasnya, UMNO Terengganu kini berada pada landasan yang tepat untuk mengenal pasti calon-calon tersebut melalui pelbagai sumber laporan termasuk maklum balas terus daripada masyarakat setempat.
“Kita faham bukan semua pilihan kita mampu memuaskan hati semua pihak, tetapi kita akan pastikan peratusan pilihan itu adalah yang paling diterima oleh rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, menyentuh soal kesiapsiagaan parti, Rozi optimis UMNO mampu memberikan saingan terbaik meskipun sedar cabaran perpecahan yang menyebabkan parti itu tumbang sebelum ini.
Beliau menekankan bahawa keharmonian dan kesepakatan dalam mesyuarat cawangan serta bahagian adalah teras utama untuk meyakinkan rakyat kembali kepada UMNO. – Sinar Harian
