Negara Politik

Tiada masalah dalam Pas – Mohd Amar

KOTA BHARU:  Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan tiada masalah atau ketegangan dalam kalangan pimpinan parti itu, meskipun spekulasi berlegar termasuk berkait pencalonannya pada Muktamar Pas tahun ini.

Menurutnya, soal pencalonan adalah hak parti dan tidak kisah jika tidak dicalonkan dalam pemilihan parti yang akan datang.

“Saya tidak ada perancangan, tidak ada kempen.

“Kalau ada pencalonan yang munasabah, saya akan timbang. Kalau tak ada pencalonan, tak ada masalah bagi saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.

Tambah Mohd Amar, beliau sentiasa menyerahkan segala keputusan kepada parti dan kawasan untuk menentukan siapa yang terbaik bagi mewakili Pas.

“Saya ini hanya mengikuti keputusan parti.

“Kalau ada kawasan yang mencalonkan, saya pertimbangkan atau kalau ada orang yang lebih baik, beri saja kepada beliau,” ujarnya.

Mengulas mengenai dakwaan berlaku pertelingkahan dalaman parti itu, beliau menyifatkan isu tersebut sebagai ‘kerja siber trooper’ yang cuba menimbulkan ketegangan dalam parti.

Muktamar Pas kali ke-71 itu akan diadakan pada September ini dan menarik minat ramai kerana melibatkan pemilihan pucuk pimpinan parti. – Sinar Harian

Related Posts