RANTAU PANJANG: Kes penyalahgunaan dan penyeludupan dadah di Kelantan disifatkan sangat membimbangkan dengan berlaku trend peningkatan sejak 2022.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata berdasarkan data sejak 2022 sehingga tahun ini, jumlah tangkapan, reman dan sabitan menyaksikan peningkatan.
Malah, katanya, penjara di Machang paling sesak sehingga mempunyai 3,184 banduan dengan 80 peratus daripadanya membabitkan kesalahan berkaitan dadah.
“Data menunjukkan majoriti dadah yang dirampas adalah daripada kategori sintetik atau ATS seperti pil kuda dan dadah jenis stimulan. Ganja turut dirampas tetapi dalam jumlah lebih kecil.
“Trend penagihan, pengedaran dan penyeludupan dadah semakin meningkat dan hal ini dapat dilihat melalui jumlah tangkapan serta kes yang berakhir dengan sabitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dan pangkalan haram di sini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, berdasarkan piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), tahap penyalahgunaan dadah diukur melalui nisbah kes bagi setiap 100,000 penduduk.
“Kelantan dengan populasi 1.8 juta penduduk merekodkan kira-kira 23,000 kes penyalahgunaan dadah berdasarkan data yang diperoleh melalui empat sumber utama iaitu Kementerian Kesihatan, Narkotik Bukit Aman, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pusat pemulihan dadah.
“Ini menjadikan nisbah Kelantan melebihi 1,000 kes per 100,000 penduduk, jauh mengatasi purata nasional iaitu 566.
“Kelantan termasuk dalam empat negeri sempadan bersama Kedah, Perlis dan Terengganu yang mencatat kadar tertinggi kes berkaitan dadah, manakala lima daerah tertinggi di negeri itu ialah Jeli, Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah dan Pasir Puteh,” katanya.
Justeru, bagi menangani kes berkenaan, beliau mengarahkan Polis Kelantan untuk meningkatkan penguatkuasaan bagi mengawal bekalan dadah serta memperkukuh kerjasama dengan AADK bagi memperkemas strategi pencegahan. – Berita Harian