KUALA LUMPUR: Kerajaan Pahang meneruskan inisiatif pemberian baucar petrol RM50 kepada 5,000 perantau anak kelahiran negeri itu untuk pulang berhari raya.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hari ini, baucar itu diagihkan kepada 1,000 penerima pertama sebelum diagihkan kepada 4,000 yang lain.
Beliau berkata, pemberian baucar itu adalah inisiatif kerajaan negeri untuk meringankan beban anak perantau dan memastikan mereka pulang beraya.
“Tak banyak (bantuan), tapi ia bukan soal nilai, tapi tanda ingatan tulus ikhlas untuk anak Pahang balik beraya.
“Hari ini ada 1,000 (penerima) yang datang, terima kasih. Kalau ada duit (lebih), bukan RM100 tapi RM200 pun kita beri,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Baucar Moh Balik ke Pahang 2025 di sini, hari ini.
Sementara itu, jurutera, Zuraini Md Zain, 48, yang kini menetap di Taman Melawati, di sini, bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang daripada 5,000 penerima bantuan.
Katanya, pemberian bantuan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan bebannya yang akan pulang beraya di Raub, Pahang, pada hari raya kedua nanti.
“Tahun lalu ada mohon tapi tak dapat, jadi syukur dan seronok kerana terpilih kali ini.
“Bagi saya, baucar petrol RM50 itu besar dan boleh tampung perbelanjaan nak balik ke kampung.
“Diharap pemberian bantuan sebegini berterusan dan ditambah lagi pada masa akan datang bagi mengambil kira anak perantau Pahang yang tinggal lebih jauh dari ibu kota,” katanya.
Seorang lagi penerima, Akmal Ariff Razak, 24, yang juga guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Keramat, di sini, berterima kasih kepada kerajaan Pahang kerana memberi bantuan yang meringankan beban untuk pulang beraya di kampung menjelang Aidilfitri nanti.
Katanya, pemberian bantuan itu menunjukkan kerajaan negeri mengambil berat terhadap anak Pahang yang merantau di ibu kota.
“Satu pengalaman baru buat saya kerana tahun lalu tidak mohon… kali ini dapat selepas cuba mohon.
“Syukur sangat kerana nanti dapat guna baucar untuk pulang beraya di Gambang, Kuantan, Pahang nanti,” katanya.
Pemberian baucar petrol Moh Balik Beraya Ke Pahang terhad kepada 5,000 permohonan terawal yang berusia 18 tahun ke atas.
Tarikh tutup permohonan adalah pada 18 Mac lalu.
Ia adalah kesinambungan Program Nak Balik Beraya Ke Pahang yang memberi manfaat kepada 5,000 anak Pahang menerima baucar. – Harian Metro