Negara

Lelaki bawa anjing ke restoran halal diburu


SEGAMAT: Seorang lelaki yang membawa seekor anjing peliharaan ke dalam sebuah premis makanan halal 24 jam di Segamat Baru di sini sedang dikesan polis selepas perbuatan itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya mengesan video berkenaan di media sosial pada Khamis sebelum menerima satu laporan polis berkaitan kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati insiden terbabit berlaku pada 11 Mei lalu kira-kira jam 12 tengah hari di Restoran Natasha Nasi Kandar Penang, Segamat Baru.

“Pekerja premis telah tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat untuk memberi keterangan dan memaklumkan peralatan kerusi digunakan individu terbabit telah dibuang selepas dimaklumkan kepada majikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 45 saat yang memaparkan seorang pemuda meletakkan anjing di bangku restoran berkenaan.

Susulan tindakan tersebut, pekerja premis tampil membuat laporan polis.

Menurut Ahmad Zamry, siasatan lanjut sedang dijalankan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Segamat (MPS) mengikut peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1970. – Sinar Harian

Related Posts