Negara

Kerajaan cadang larang penggunaan telefon pintar bawah umur 16 tahun – PM

PUTRAJAYA:  Kerajaan bercadang untuk melarang penggunaan telefon pintar bagi individu berusia bawah 16 tahun, sebagai sebahagian daripada langkah segera menangani isu keselamatan di sekolah, termasuk kes buli dan jenayah keganasan dalam kalangan pelajar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan tersebut merupakan salah satu daripada tiga langkah segera yang dicadangkan oleh Jemaah Menteri.

“Kita dapati kesan pengaruh media sosial dan permainan atas talian kadangkala menjurus kepada banyak tindakan jenayah.

“Itu sebab kita akan ambil tindakan melarang penggunaan telefon pintar untuk pelajar berumur 16 tahun ke bawah. Kajian masih dijalankan, tetapi banyak negara telah melaksanakan langkah ini,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, PPAM Seruling di sini.

Sebelum ini, kerajaan menyatakan akan membuat keputusan mengenai isu disiplin dan keselamatan membabitkan pelajar sekolah pada Jumaat, susulan laporan beberapa insiden tidak wajar sejak kebelakangan ini.

Anwar berkata, beliau telah mengadakan perbincangan ringkas bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Khamis berhubung isu berkenaan.

“Kita akan bincang di peringkat Kabinet secara terperinci… tadi saya sudah bincang sedikit dengan menteri (Fadhlina), esok kita buat keputusan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai reformasi pendidikan susulan beberapa kes rogol, bunuh dan buli di sekolah.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh kandungan pendidikan berasaskan nilai dan akhlak, dengan penglibatan aktif ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memastikan kesejahteraan pelajar.

“Perkara yang diteliti, seperti yang saya sebut, Menteri Pendidikan akan memberikan penjelasan yang lebih luas. Saya harap pengetua, guru besar, guru-guru, ibu bapa dapat beri kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Anwar turut mengingatkan pengetua dan guru besar agar tidak melindungi salah laku pelajar atas alasan menjaga imej sekolah.

“Keutamaan pengetua, guru besar, kadangkala ialah melindungi imej sekolah. Anak-anak bergaduh, bertempur… mereka kira soal imej sekolah. Kita perlu tekankan bahawa mereka juga bertanggungjawab.

“Kalau ada yang melindungi, maka ia dianggap satu kesalahan, maknanya melindungi jenayah. Kadang-kadang mereka anggap kes buli itu kecil… tapi yang kecil itu, jika tidak ditangani, boleh menjadi besar,” katanya. – Sinar Harian

Related Posts