KUALA LUMPUR: Dalam Malaysia melonjak kepada tahap baharu melalui beberapa perjanjian yang dimeterai dengan Amerika Syarikat (AS) susulan lawatan Presiden Donald Trump ke negara ini yang mencatat sejarah, para pelabur menyambut baik langkah tersebut yang dapat dilihat daripada kenaikan ringgit dan Bursa Malaysia pada Isnin.
Pada sesi pembukaan hari ini, indeks utama FBM KLCI naik 6.84 mata kepada 1,620.11 daripada 1,613.27 semasa ditutup pada Jumaat lepas. Ia mencecah paras tertinggi harian pada 1,623.23 sebelum ditutup pada 1,618.38.
Indeks lain turut meningkat, dengan indeks perladangan menambah 38.52 mata kepada 7,947.81, penjagaan kesihatan naik 22.8 mata kepada 1,693.56 dan teknologi meningkat 1.11 mata kepada 64.08 pada sesi pembukaan.
Ringgit turut mencatatkan kenaikan kepada 4.2145/2350 berbanding dolar AS daripada 4.2210/2255 semasa ditutup pada Jumaat lepas. Mata wang tempatan ditutup mengukuh kepada 4.2085/2135 berbanding dolar AS.
Tanpa mengambil kira faktor luaran seperti data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang lebih rendah daripada jangkaan pada September dan hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan AS, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat perjanjian Malaysia-AS, terutamanya 1,711 produk eksport Malaysia yang akan menikmati tarif lebih rendah ke AS, telah meningkatkan sentimen pelabur terhadap pasaran modal tempatan.
“Ini akan memberi impak positif kepada ringgit dalam jangka sederhana dan panjang,” katanya kepada Bernama.
Menurut Mohd Afzanizam, kejutan tarif sentiasa menjadi punca kebimbangan dalam kalangan penggubal dasar dan pelabur.
“Ternyata, pendekatan diplomatik kerajaan kita telah menjana hasil yang diharapkan apabila kadar tarif efektif adalah lebih rendah pada kadar purata keseluruhan bagi pelbagai kategori produk.
Ditanya sama ada perjanjian yang dimeterai antara Malaysia dan AS terutamanya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) akan meningkatkan kedudukan global Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik, Mohd Afzanizam berkata: “Sudah tentu berikutan ini jelas menunjukkan bahawa strategi diplomatik Malaysia berkesan dan negara serius untuk menjalankan perniagaan dengan pelbagai negara, termasuk AS.”
Bagaimanapun, katanya masih terdapat jurang yang perlu ditangani, terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk membolehkan integrasi mereka dalam rantaian bekalan global.
Trump tiba di Malaysia pada 10 pagi Ahad untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan. Beliau berlepas pada 10.06 pagi hari ini, menandakan berakhirnya lawatan rasmi sulungnya ke Malaysia dan penyertaan pertamanya dalam Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN sejak memulakan penggal kedua sebagai presiden pada Januari lepas.
Dalam lawatannya, Trump mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar, dan kedua-dua pemimpin menandatangani Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) sebagai pengiktirafan terhadap kerjasama strategik dan pelbagai dimensi yang semakin berkembang antara Putrajaya dan Washington.
Kedua-dua pemimpin turut menandatangani ART, yang menyaksikan sehingga 1,711 produk Malaysia termasuk minyak sawit, getah, koko serta komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa yang dieksport ke AS akan menikmati tarif lebih rendah daripada 19 peratus.
Di bawah ART, AS telah mengenal pasti produk yang disenaraikan di bawah Lampiran III Perintah Eksekutif 14346 bertarikh 5 Sept 2025, mengenai Potential Tariff Adjustments for Aligned Partners untuk mendapat kadar tarif timbal balas sifar peratus.
Anwar dan Trump turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai mineral penting antara Malaysia dan AS. – Bernama
