Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius isu erangan siber terhadap Pakar Patalogi Forensik, Dr Jessie Hui susulan keterangan yang dibuatnya mengenai inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, serangan terhadap pakar perubatan yang menjalankan tugas secara profesional adalah tidak wajar dan hanya akan mencemarkan martabat profesion perubatan di negara kita.
“Saya memandang serius isu pembulian siber yang menimpa Dr Jessie Hui.
“Saya ingin tegaskan setiap pihak harus menghormati proses kehakiman yang sedang berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Intan Minister’s Conversation Reformasi Pembiayaan Kesihatan di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Wilayah Timur, di sini, hari ini.
Dr Dzulkefly berkata, dalam masa yang sama, pihaknya berharap integriti dan kredebiliti profesion perubatan yang berkhidmat berdasarkan fakta dan prinsip sains juga wajar dihormati dan diiktiraf.
“Kita boleh pertikai apa-apa sahaja, tak mengapa… tetapi sampai ke paras buli secara siber itu, bagi saya sangat tidak wajar,” katanya.
Pada Sabtu lalu, media melaporkan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, Dr Jessie tampil membuat laporan polis selepas menerima ugutan di media sosial.
Menurutnya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). – Suara Timur