MELAKA: Polis sedang memburu pemilik akaun Lyan Liu yang telah menimbulkan kemarahan ramai selepas memuat naik komen berunsur penghinaan termasuk mengajak bom masjid ketika solat Jumaat.
Tindakan jahat individu yang cuba menggugat keharmonian itu disedari seorang peniaga berusia 68 tahun yang kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Udang pada jam 5.11 petang Khamis.
Peniaga itu berkata, dia membuat laporan kerana tidak berpuas hati dengan komen tersebut lebih-lebih lagi melibatkan agama.
“Ini melibatkan soal agama memang saya tidak berpuas hati dan datang ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan pihaknya menerima laporan polis berkenaan dan kes disiasat oleh pegawai penyiasat Johor kerana laporan pertama dibuat di Balai Polis Tampoi.
“Negeri lain telah menerima laporan daripada kes yang sama, jadi kes ini akan dirujuk kepada lokasi pertama yang polis terima aduan,” katanya. – Sinar Harian