MARANG: Mahkamah Majistret Marang hari ini menolak permohonan reman terhadap seorang ahli perniagaan bergelar Datuk bersama adik lelakinya yang disyaki terbabit dalam kes penipuan hartanah.
Majistret Nur Athirah Hashim membuat keputusan itu selepas polis membuat permohonan untuk mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Peguam Ahmad Adha Amir Yasser yang mewakili ahli perniagaan berusia 38 tahun dan adiknya yang berusia 31, berkata, mahkamah membuat keputusan reman itu atas hujahan kerana anak guamnya pernah dipanggil polis dan memberikan kerjasama yang baik dalam siasatan kes terbabit sebelum ini.
“Kedua-dua anak guam kami boleh dipanggil pada bila-bila masa dan mereka akan memberi kerjasama yang baik kepada polis.
“Kedua anak guam kami ini direman sejak 25 Oktober dan ditahan lagi semalam untuk reman pada hari ini dan ini menjejaskan hak sebagai warganegara, ‘right to life personal liberty’,” katanya.
Ahli perniagaan terbabit bersama adiknya dibawa anggota polis tiba di mahkamah Majistret Marang kira-kira jam 9 pagi untuk mendapatkan perintah reman.
Difahamkan, ahli perniagaan itu dibawa untuk mendapatkan perintah reman berhubung kes penipuan hartanah di daerah Hulu Terengganu bernilai RM26,000 yang berlaku pada tahun 2023.
Semalam, Mahkamah Majistret Dungun menolak perintah reman terhadap ahli perniagaan itu bersama adiknya dan pada Isnin lalu ahli perniagaan berkenaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Besut atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan sebuah kereta Perodua Bezza pada 23 Oktober lalu.
Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah itu dan minta dibicarakan di hadapan hakim, Ahmad Fadhli Mahmud. – Metro
