Mahkamah dan Jenayah Negara

Pelajar tahfiz dibunuh: Ibu akan saman tuntut keadilan

KOTA BHARU:  Keluarga kepada pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman akan memfailkan saman terhadap beberapa pihak berkaitan bagi menuntut siasatan semula kes kematian tragis anak mereka, 12 tahun lalu.

Ibunya, Ruhani Hussin, 70, berkata, langkah itu diambil selepas lebih sedekad penantian tidak membuahkan hasil dan suspek yang membunuh anaknya masih belum dikenal pasti.

“Saya reda, tetapi saya tidak akan berhenti menuntut bela untuk anak saya.

“Kami mahu siasatan dibuka semula supaya pembunuhnya dikenakan tindakan. Sudah terlalu lama ia dibiarkan, ini soal nyawa anak saya,” katanya ketika ditemui dengan pertemuan bersama peguam di sini, hari ini.

Pada 12 Disember 2013, mayat pelajar Tingkatan Empat, Wan Ahmad Faris,16, ditemui tergantung di dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Kok Lanas, di sini.

Mahkamah Koroner Kota Bharu pada Jun 2016 memutuskan bahawa kematian pelajar itu berpunca daripada perbuatan individu tidak dikenali, sekali gus menolak kemungkinan dia membunuh diri.


Susulan keputusan itu, keluarga melakukan pelbagai usaha termasuk menghantar surat rayuan kepada Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia dan Perdana Menteri.

Menurut Ruhani juga pesara ketua jururawat itu, mereka menerima surat pada Julai tahun lalu yang memaklumkan bahawa kes telah diklasifikasikan sebagai ‘No Further Action’ sejak 2020. – Sinar Harian

Related Posts