Negara

Gas bocor:  20 penghuni pusat tahfiz dipindahkan

KERTIH: Lebih 20 penghuni sebuah pusat tahfiz, di sini akan dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan insiden kebocoran paip gas Petronas Gas Berhad (PGB) di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, walaupun jarak dari pusat tahfiz ke lokasi kejadian agak jauh, iaitu dua kilometer, namun tindakan awal perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan penghuni terjamin, memandangkan risiko pencemaran udara mungkin berlaku sekiranya keadaan angin berubah.

“Kita mengambil langkah berjaga-jaga dan kita bimbang arah angin yang menghala ke pusat tahfiz boleh menyebabkan udara tercemar sekali gus memberikan kesan buruk. Jadi, kita ambil keputusan pindahkan mereka lebih awal.

“Pemindahan akan dilaksanakan hari ini juga sebelum malam bagi mengelakkan sebarang risiko. Pegawai kita sudah berurusan dengan pihak pusat tahfiz berkenaan,” katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Gerakan Operasi di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Bernama melaporkan, Mohd Razi turut menasihati orang awam supaya tidak mendekati kawasan kejadian atau cuba melihat lokasi dari jarak dekat kerana dikhuatiri terdedah kepada risiko pencemaran udara.

“Orang ramai diminta tidak melakukan pembakaran terbuka kerana gas yang dibawa angin boleh sampai ke kawasan pembakaran sekali gus membahayakan keadaan

“Selain itu, hentikan sementara sebarang aktiviti di kawasan hutan berhampiran dengan lokasi kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Razi berkata, orang ramai tidak perlu panik kerana situasi berada dalam keadaan terkawal, selain mereka diminta mematuhi arahan pihak berkuasa berhubung insiden terbabit.

Sebelum ini, dilpaorkan polis menutup laluan utama Kerteh–Ranggon kepada semua kenderaan susulan kebocaran paip gdi Tapak ECRL, Seksyen 5, Kerteh, di sini pagi semalam.


Related Posts