Negara

Wanita bawa bayi sesat 3 jam selepas lalu kubur lama, hanya mampu tawakal dan berdoa

KAJANG: “Kiri sungai, dikelilingi hutan, di hadapan lubang besar… saya cuma mampu tawakal,” kata Fadylla Ismail, 34, yang tersesat lebih tiga jam dalam hutan selepas melalui kawasan perkuburan lama di Kampung Batu 3, Bangi Lama, di sini, Sabtu lalu.

Berkongsi detik cemas itu, Fadylla berkata, kejadian ketika dia menghantar pembantu rumah pulang ke kampung berkenaan kira-kira jam 7 malam bersama bayi kecilnya dan anak saudaranya.

Katanya, itu kali pertama dia menjejakkan kaki ke kawasan terbabit dan menggunakan aplikasi navigasi untuk mencari jalan pulang ke rumahnya di Semenyih.

“Namun, laluan yang ditunjukkan membawa saya melalui jalan sempit dan sunyi berhampiran kawasan perkuburan lama. Saya tak sedap hati bila nampak kawasan kubur kiri kanan, tapi aplikasi navigasi tunjuk terus ke depan.

“Lama-lama makin dalam sampai saya tak tahu di mana. Rangkaian Internet telefon pun hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadylla yang memandu kereta sedan model BMW berkata, keadaan jalan yang sempit dan berlubang menyebabkan keretanya tersangkut.

“Saya cuba ubah laluan tapi tak boleh sebab tiada Internet. Jalan depan gelap, belakang lubang besar, kiri pula sungai,” katanya.

Fadylla berkata keadaan menjadi semakin cemas apabila bayi kecilnya berusia tiga bulan, Sayf Gibran, menangis tanpa henti dalam keadaan gelap dan sunyi.

“Saya cuba hubungi 999 tapi talian asyik terputus. Masa tu saya dah sesak nafas, serangan anxiety datang. Saya cuma doa moga ada orang jumpa,” katanya.

Fadylla berkata dia sempat memuat naik hantaran ringkas di media sosial meminta bantuan walaupun capaian Internet ketika itu sangat lemah.

“Saya tak sangka video saya dalam kereta tu akan tersebar. Ramai tak tahu saya memang dalam panik dan hampir tak boleh bernafas,” katanya.

Fadylla berkata pasukan polis dari Balai Semenyih dan Kajang bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) akhirnya menemui mereka kira-kira jam 9 malam selepas mengesan lokasi melalui panggilan kecemasan yang terputus-putus.

“Saya sangat berterima kasih kepada dua anggota polis peronda dan bomba yang selamatkan kami. Dalam keadaan gelap dan saya hampir panik, mereka datang tepat pada masanya,” katanya.

Fadylla berkata suaminya yang bergegas dari tempat kerja turut membantu dalam operasi mencari sebelum akhirnya menemui mereka dalam keadaan selamat.

“Saya sangat bersyukur. Walaupun kereta rosak teruk, nyawa kami selamat. Moga pengalaman ini jadi pengajaran supaya berhati-hati guna aplikasi navigasi terutama bila memandu waktu malam,” katanya. – Berita Harian

Related Posts