Negara

Wang Tak Dituntut sudah cecah RM13.3 bilion – Akauntan Negara

BATU PAHAT: Jabatan Akauntan Negara (JANM) merekodkan RM13.3 bilion Wang Tak Dituntut (WTD), setakat bulan lalu, walaupun pelbagai kempen dan promosi dilakukan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.

Akauntan Negara, Nor Yati Ahmad, berkata sejak sistem WTD diwujudkan pada 1977, hanya kira-kira RM4 bilion telah dituntut pemilik atau waris.

Beliau berkata, ia mungkin disebabkan individu atau waris tidak menyangka mereka mempunyai rekod WTD, selain ada yang tidak pernah membuat semakan dengan JANM.

“Mereka sebenarnya boleh membuat semakan atau mengemukakan permohonan tuntutan melalui portal rasmi atau aplikasi eGumis serta hadir ke cawangan JANM di setiap negeri.

“Kami akan terus melakukan promosi dan aktiviti turun padang menghebahkan kewujudan WTD kerana wang itu hanya boleh dikeluarkan oleh pemilik atau waris,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Santuni MADANI di Sekolah Kebangsaan (SK) Minyak Beku, di sini, hari ini.

Sementara itu mengenai program KAM pula, Nor Yati berkata, pelbagai aktiviti menyantuni penduduk kampung dan projek pembangunan membabitkan penambahbaikan infrastruktur dijalankan.

Selain WTD, beliau berkata, khidmat pembukaan akaun simpanan kanak-kanak dengan kerjasama Bank Rakyat membabitkan inisiatif RM20 setiap akaun, dan beberapa aktiviti bersama masyarakat turut diadakan pada program itu.

“Antara yang berlangsung bawah projek pembangunan fizikal ialah menaik taraf saluran air paip, membaik pulih balai Islam, membina pagar tanah perkuburan, menambah prasarana kemudahan pengurusan jenazah dan penyerahan sebuah van jenazah.

“Tujuan KAM diadakan ialah merapatkan jurang antara desa dengan bandar. Ia termasuk dengan melengkapkan kemudahan asas, kemudahan kemasyarakatan dan tidak ketinggalan capaian Internet,” katanya.

Beliau berkata, KAM di Johor adalah yang kedua setelah JANM berjaya melaksanakannya di Kampung Lubuk Antu, Sarawak pada tahun lepas, dan program itu dijangka diteruskan selepas ini. – Berita Harian

Related Posts