TAPAH: Pihak pengurusan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan mengambil tindakan dengan menggantung pelajar yang terlibat dalam video kes seorang pelajar dibuli rakan-rakannya yang tular pada Isnin.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan menggantung pelajar yang bersalah atau tidak bersalah itu diambil supaya ia tidak mengganggu proses siasatan yang akan dijalankan oleh Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM).
“Saya minta untuk laporan daripada siasatan ini dikemukakan kepada pihak Mara pusat untuk diambil tindakan sewajarnya.
“Ya, sebab kita tidak mahu mengganggu sebarang siasatan lepas pada itu, kalau benar-benar berlaku kita tidak akan kompromi sehingga ke peringkat menyingkirkan mereka daripada maktab,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya tidak boleh mengambil pendekatan menghukum sebelum membuat sebarang siasatan dan beliau yakin pihak pengurusan maktab akan mengambil serius berhubung perkara itu.
Beliau berkata, pihaknya amat tegas dalam isu buli dan sudah beberapa kali mengingatkan warga MRSM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk budaya buli dalam apa juga bentuk sama ada fizikal mahupun mental.
“Ia tidak harus berlaku di dalam sebuah maktab seperti MRSM yang matlamatnya untuk melahirkan generasi pemimpin masa depan yang bersahsiah tinggi, adab budi pekerti yang luhur dan bukan hanya cemerlang dari segi akademik.
Sementara itu, polis mengesahkan insiden buli membabitkan sekumpulan pelajar di sebuah MRSM, di sini, berlaku pertengahan tahun lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintendan Mohd Norazmi Abd Ghapar, berkata insiden membabitkan tujuh pelajar termasuk mangsa berusia 15 tahun yang dikatakan hanya bergurau dan ejek-mengejek sesama sendiri.
“Setakat ini tiada laporan diterima berhubung insiden ini, namun polis menjalankan siasatan awal dan sudah mengenal pasti pelajar terbabit.
“Mereka adalah pelajar tingkatan tiga di institusi berkenaan. Mereka akan dirakamkan keterangan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.