Home NasionalMurid jatuh bangunan ketika cuba ambil kasut rakan

Murid jatuh bangunan ketika cuba ambil kasut rakan

oleh suara timur

MELAKA: Murid lelaki Tahun 5 sebuah sekolah rendah di Batu Berendam, di sini, cedera dipercayai terjatuh dari koridor sekolah ketika mengambil kasut rakan yang dilemparnya ke bumbung laluan pejalan kaki, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa dikatakan memanjat bahagian koridor sebelum dipercayai hilang imbangan dan terjatuh.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, beliau dimaklumkan kejadian berpunca daripada tindakan murid itu sendiri dan bukan faktor lain.

“Murid terbabit dikatakan mengambil kasut sekolah rakan sebelum membalingnya ke atas bumbung.

banner

“Bila rakannya marah, dia panjat bumbung di bahagian garaj kereta guru untuk mengambil kasut berkenaan.

“Selepas mengambil kasut, mangsa dikatakan cuba memanjat tembok koridor namun dipercayai tergelincir dan jatuh,” katanya dihubungi di sini.

Beliau berkata, murid terbabit sudah diberi rawatan dan hanya mengalami luka ringan.

Terdahulu, tular gambar di WhatsApp memaparkan sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia di sekolah berserta keterangan seorang murid Tahun 5 terjatuh dari koridor. – Metro

Tinggalkan komen