ARAU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Bersatu (BERSATU) yang digugurkan dari barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis setahun yang lalu membuat kemunculan semula apabila dilantik kembali membarisi barisan exco negeri itu hari ini.
ADUN Pauh, Megat Hashirat Hassan dan ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak yang digugurkan daripada jemaah Exco Perlis pada Oktober 2024 dilantik semula menyertai dua lagi ADUN Bersatu, Izizam Ibrahim (DUN Titi Tinggi) dan Datin Marzita Mansor (DUN Sena) dibawah pentadbiran Menteri Besar Perlis yang baharu, Abu Bakar Hamzah.
Rombakan dan perlantikan barisan Exco Perlis kali ini agak berlainan apabila tiada ADUN PAS menyertai kerajaan negeri Perlis selepas PAS Pusat memutuskan ADUN dari PAS Perlis tidak akan menyertai barisan exco kerajaan negeri Perlis yang baharu sebagai solidariti kepada perletakkan jawatan Menteri Besar sebelum ini, Mohd Shukri Ramli berikutan kemelut politik dalaman Perikatan Nasional (PN).
Walaupun tidak menyertai barisan exco kali ini, ADUN PAS Perlis termasuk Mohd Shukri kecuali ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil tetap memberi sokongan dengan hadir dalam Majlis Istiadat Perlantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis itu.
Majlis angkat sumpah membabitkan empat ADUN Bersatu sekitar jam 11.20 pagi itu berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Bilik Hijau Istana Arau, di sini, selepas masing-masing menerima watikah pelantikan daripada baginda.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Majlis turut disaksikan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail; Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Perlis, Yang Zaimey Yang Ghazali, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan.
Tiga ADUN PAS, Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) yang tergugur keanggotaan ADUN mereka sebelum ini tidak dijemput oleh pihak istana bagi majlis berkenaan. – Berita Harian
