KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Terengganu meletakkan sasaran baharu untuk menarik 8.5 juta pelancong ke negeri itu sepanjang tahun 2025.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Sulaiman Sulong berkata, pencapaian memberangsangkan tahun lalu menjadi pemangkin kepada peningkatan sasaran tersebut.
“Tahun lalu, kita telah meletakkan sasaran sebanyak 4.5 juta pelancong ke Negeri Terengganu. Namun alhamdulillah, kita berjaya mencatatkan kehadiran 7.8 juta pelancong, jauh melepasi sasaran yang ditetapkan.
“Bagi tahun 2025, sasaran kita lebih tinggi iaitu 8.5 juta pelancong,” katanya ketika merasmikan Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Terengganu di Hotel Raia, di sini hari ini.

Menurut beliau, meskipun Terengganu berdepan cabaran seperti musim Monsun Timur Laut dan beberapa destinasi pantai yang masih belum beroperasi sepenuhnya, negeri itu telah merekodkan kehadiran seramai 2.1 juta pelancong pada suku pertama tahun ini.
“Ini adalah petanda yang sangat positif. Namun, untuk memastikan industri pelancongan Terengganu terus berkembang secara mampan dan kekal kompetitif, kerjasama erat antara semua pihak, Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri, NGO, serta para penggiat industri adalah amat penting,” katanya. – Harakahdaily