KUALA TERENGGANU: Peruntukan kira-kira RM2.4 bilion diperlukan untuk melaksanakan projek pembinaan benteng pemecah ombak di 34 pantai di negeri itu yang terbabit dengan hakisan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat dilaporkan Berita Harian berkata, peruntukan untuk membina benteng pemecah ombak biasanya antara RM5 juta hingga RM10 juta setiap kilometer, bergantung kepada spesifikasi.
Katanya, peruntukan untuk pembinaan benteng pemecah ombak bergantung kepada beberapa faktor, antaranya panjang pantai yang terhakis dan kos ditentukan berdasarkan jumlah panjang pantai yang memerlukan perlindungan.
“Jenis benteng yang dibina akan mempengaruhi kos yang boleh berbeza bergantung kepada reka bentuk, sama ada benteng konkrit, tetrapod atau gabion.
“Tahap hakisan juga menentukan perbelanjaan apabila hakisan yang teruk mungkin memerlukan struktur lebih kukuh menyebabkan dan kos lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Chukai berkata, kos bahan dan buruh tempatan serta harga binaan seperti batu, simen dan tenaga kerja juga turut mempengaruhi kos.
“Kerajaan negeri akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan memandangkan ia membabitkan bidang kuasa dan tanggungjawab mereka.
“Jumlah peruntukan untuk pembinaan benteng di 34 pantai yang dilaporkan terbabit dengan hakisan adalah anggaran, tetapi kajian secara mendalam oleh pakar diperlukan untuk mendapatkan jumlah kos sebenar berdasarkan keadaan setempat,” katanya.
Hanafiah berkata, anggaran peruntukan yang diperlukan itu dibuat berdasarkan panjang pantai setiap daerah dan kos purata pembinaan tidak termasuk penyelenggaraan jangka panjang.
“Kajian lebih terperinci diperlukan untuk mengenal pasti tahap hakisan dan keperluan pembinaan di setiap lokasi,” katanya.
Justeru, katanya, kerajaan menggesa Kerajaan Persekutuan untuk segera meluluskan peruntukan tambahan bagi menangani isu hakisan yang kian mengancam kawasan pantai di negeri ini. – Suara Timur