Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah dua keluarga adik-beradik di Kampung Tanah Lot, Binjai di sini apabila akhirnya dapat menarik nafas lega selepas menerima kunci rumah baharu yang lebih selesa untuk didiami hari ini.
Selepas menanti hampir dua tahun, pasangan adik-beradik Ramli Muda, 46, dan Kamaruddin Muda, 42, kini mampu memulakan lembaran baharu kehidupan selepas kediaman lama mereka musnah dalam satu kebakaran.
Penyerahan kunci rumah tersebut disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Terengganu, Datuk Haji Abdul Kahar Abdul Latif menerusi Program Rumah Kasih Ihsan, hasil inisiatif Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Abdul Kahar berkata, pihaknya sentiasa komited memastikan kebajikan rakyat terus terbela melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berteraskan nilai ihsan dan kesejahteraan.
“Projek Rumah Kasih Ihsan kategori bina baharu ini merupakan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam menyediakan kediaman yang selesa dan selamat kepada golongan yang memerlukan, sekali gus mengembalikan sinar harapan kepada mereka yang diuji,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, bantuan seumpama itu bukan sahaja memberi perlindungan fizikal, malah turut menjadi pemangkin kepada kehidupan yang lebih stabil dan bermaruah bagi penerima.
Dalam majlis sama, beliau turut menyempurnakan Program Ziarah Syifa dengan menyampaikan sumbangan kepada Kamal Naufal Kamaruddin, 16, anak kepada salah seorang penerima rumah, yang mengalami kemalangan jalan raya pada Mac lalu.

Insiden tersebut menyebabkan remaja itu mengalami kecederaan serius termasuk kecederaan otak serta kehilangan penglihatan pada mata kiri.
Abdul Kahar berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan keluarga terlibat, malah sebagai tanda sokongan moral dan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang berdepan ujian hidup.
“Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, ihsan dan keseimbangan dalam pembangunan negara,” katanya.
Beliau menegaskan, keprihatinan terhadap nasib rakyat, khususnya mereka yang berada dalam kesusahan, akan terus menjadi keutamaan agar tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan.
Tambahnya, kerajaan percaya kesejahteraan akyat merupakan asas penting kepada kemakmuran negara, justeru pelbagai program kebajikan akan terus diperkasa bagi memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa, selamat dan bermaruah. – Suara Timur
