Home NegeriWanita warga emas gigih pertahan seni anyaman tikar mengkuang

Wanita warga emas gigih pertahan seni anyaman tikar mengkuang

oleh admin

KEMAMAN: Walaupun usia telah mencapai 88 tahun, seorang wanita warga emas di Kemaman, Terengganu masih gigih mempertahankan seni anyaman tikar mengkuang demi memastikan warisan itu kekal untuk tatapan generasi akan datang.

Zainab Abu Bakar, 88, dari Kampung Bukit Mentok di sino adalah satu-satunya pengayam tikar mengkuang yang masih meneruskan tradisi itu sehingga kini selagi masih ada khudrat.

Menurutnya, dia mula mengayam tikar mengkuang sejak 70 tahun lalu dan sehingga kini masih gagah mencari daun mengkuang di paya di belakang rumahnya.

“Daun mengkuang yang diambil dari pokok perlu melalui beberapa proses berkaitan dan penyediaannya memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi.

banner

“Semua proses mengayam tikar mengkuang itu menggunakan cara tradisional termasuk penyediaan bahan kerana seni anyaman memerlukan ketelitian dan kehalusan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Zainab, lazimnya sekeping tikar mengkuang bersaiz besar biasanya memerlukan masa sehingga lima hari untuk disiapkan.

“Dengan faktor usianya kini, saya hanya mampu menyiapkan sepuluh keping tikar sebulan yang dijual dengan harga antara RM60 hingga RM70 sekeping.

“Saya menerima banyak tempahan termasuk dari Sabah dan Sarawak, namun sebahagiannya saya terpaksa tolak kerana kekurangan masa untuk melakukan kerja mengayam,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun seni warisan itu kini berdepan cabaran kerana ramai generasi muda sudah tidak berminat mewarisi dan meneruskannya. – Suara Timur

Tinggalkan komen