SETIU: Seramai 33 penduduk bertindak memfailkan saman terhadap pihak pembinaan projek laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Peguam mewakili penduduk, Lt Kol Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, penduduk kampung sudah memfailkan saman terhadap pihak berkaitan projek ECRL di Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu pada 13 Oktober 2025.
“Seramai 33 penduduk iaitu plaintif membuat enam tuntutan kepada mahkamah antaranya defendan perlu mengutamakan keselamatan penduduk.
“Ganti rugi am dan ganti rugi teruk, pampasan atas kehilangan hak menikmati tanah serta kediaman secara selamat.
“Perisytiharan kerja-kerja pembinaan ECRL dilakukan secara cuai sehingga menyebabkan banjir dan kerugian, faedah serta kos,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, hari ini proses sebutan semula kes serta penyerahan dokumen berkaitan dilakukan di mahkamah yang sama.
Difahamkan lebih 50 rumah di Kampung Bintang di sini, terjejas dengan kejadian banjir kilat kesan pembinaan projek laluan ECRL sejak empat tahun lalu.
Wakil penduduk, Che Manaf Mamat, 42, berkata, rumahnya antara yang terawal ditenggelami banjir kilat kerana terletak bersebelahan laluan projek berkenaan.
Katanya, sebelum pembinaan projek itu kawasan kampung tidak pernah dinaiki air kerana laluan air lancar tidak tersekat.
“Bagaimanapun masalah mula timbul apabila salah satu laluan utama penduduk ke jalan besar ditutup menyebabkan berlaku banjir kilat.
“Laluan saluran air tersekat menyebabkan paras air sungai meningkat ketika musim banjir melimpahi kawasan rumah penduduk,” katanya
Sementara itu, Naini Ibrahim, 44, berkata, tindakan menutup laluan utama dilakukan tanpa persetujuan penduduk kampung menyebabkan mereka terpaksa menggunakan laluan sejauh 1.2 kilometer untuk keluar ke jalan besar.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, Ramli Zakaria, 63, pula berkata, kesan banjir kilat itu turut merosakkan tanaman penduduk serta menjejaskan haiwan ternakan.
“Kami berharap supaya satu terowong SMART dapat dibina di laluan utama jalan yang ditutup untuk memudahkan penduduk kampung menggunakan laluan berkenaan apabila ingin keluar dari kawasan kampung.
“Terowong berkenaan juga akan digunakan untuk menyalurkan air banjir sekali gus menyelesaikan masalah banjir kilat yang melanda kampung ini,” katanya.- Metro
