Negeri

1,000 pendaki gunung, peminat sukan lasak sertai program cabaran larian gunung, Mount Berembun Climbathon Challenge

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seramai 1,000 pendaki gunung dan  peminat sukan lasak menyertai program cabaran larian gunung, Mount Berembun Climbathon Challenge (MBCC) di Taman Eko Rimba Chemerong, di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata,
keindahan Gunung Berembun yang mempunyai tiga air terjun semulajadi iaitu Chemerong, Berembun dan Langsir yang berketinggian 1,038 meter dari paras laut menjadi tarikan peserta tempatan dan luar negara.

Menurutnya, program kali kedua yang dianjurkan Kelab Kembara Terengganu (Terengganu Backpackers) dan TAC Outdoor dengan kerjasama kerajaan negeri  mendapat sambutan menggalakkan.

RAZALI Idris (kanan) melepaskan peserta program cabaran larian gunung, Mount Berembun Climbathon Challenge (MBCC) di Taman Eko Rimba Chemerong, Dungun, hari ini.

Katanya, program berkenaan juga dapat memperkenalkan pelancongan sukan bagi membudayakan aktiviti riadah dan rekreasi keluarga.

“InsyaAllah, program ini akan diperluaskan lagi dengan lebih ramai penyertaan termasuk peserta dari luar negara kerana kita lihat program ini sememangnya berpotensi menarik lebih ramai pelancong,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelepasan peserta MBCC’25 dan Hari Hutan Antarabangsa di Taman Eko Rimba Chemerong, di sini, hari ini.

Razali berkata, langkah mempromosikan program itu juga seiring dengan penggalakan pelancongan tempatan seiring Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Terengganu 2027.

RAZALI Idris (dua, kiri) meninjau ge (MBCC) di Taman Eko Rimba Chemerong sempena program cabaran larian gunung, Mount Berembun Climbathon Challenge (MBCC) di Dungun, hari ini.

“Program ini juga dapat memberi impak ekonomi kepada penduduk sekitar Hulu Dungun termasuk peniaga dan inap desa.

“Menerusi program ini juga kita dapat menggerakkan peranan Malim Gunung Perhutanan yang terlatih bagi memberi panduan dan membantu peserta program untuk pendakian gunung,” katanya.

Sementara itu, pengarah program, Mohd. Rafi Kori berkata, MBCC’25 merupakan acara berkonsep ‘trail run’ atau perlumbaan gunung yang dihidupkan semula dengan membawa elemen penghayatan alam semulajadi, sukan dan pelancongan kembara.

RAZALI Idris (kanan) menyiram pokok yang ditanam di Taman Eko Rimba Chemerong, di Dungun, hari ini.

“Tahun ini terdapat tiga kategori diperkenalkan iaitu kategori Cengal iaitu terbuka lelaki dan wanita dan veteran lelaki dan wanita; kategori Meranti iaitu tertutup lelaki dan wanita yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM13,000.

“Kita juga turut memperkenalkan kategori ‘Fun Trail’ atau kategori Nyatuh sejauh dua dan lima kilometer bagi memberi peluang kepada peserta untuk melakukan pendakian hutan secara santai,” katanya.  – Suara Timur

Related Posts