BACHOK – “Saya maafkan pemandu bas, apa yang berlaku ini takdir. Tiada dendam terhadap dia.”
Demikian luahan Halim Sidik, 58, bapa kepada Allahyarham Muhammad Adib Hazim, 21, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.
Menurut Halim, apa yang berlaku kepada anak keenam daripada tujuh beradik itu adalah ketentuan Ilahi.
“ALLAH sayang Adib. Apa yang berlaku, kami reda dan tiada dendam terhadap pemandu walaupun banyak cerita yang dihebohkan berkenaan dirinya.
“Anak kami pergi dengan baik. Saya fikir pemandu pun ada keluarga, dia juga tidak berniat untuk membawa laju. Soal maaf, biarlah dia pohon kepada Tuhan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pangkalan Cina, di sini, pada Rabu.
Terdahulu, Sinar Harian pada Selasa melaporkan pemandu bas, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, memohon maaf kepada semua pelajar dan keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian terbabit.
Menurut Mohd Amirul yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Taiping, Perak, bas yang dipandunya dipercayai mengalami masalah brek.
Pada Isnin, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbalik selepas hilang kawalan dan terlibat pelanggaran dengan sebuah kenderaan
pelbagai guna di JRTB.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kereta Perodua Alza. – Sinar Harian