Negeri

‘Musang king RM20 sekilogram kurang sambutan’

KOTA BHARU – Meskipun durian musang king dijual serendah RM20 sekilogram sejak lima tahun lalu, namun jualannya tahun ini dikatakan hambar dan tidak semeriah musim-musim terdahulu.

Menurut peniaga, Ahmad Maher Safian, 30, yang juga imam sebuah masjid di sini, harga murah itu ditawarkan bagi membolehkan semua lapisan masyarakat merasai keenakan ‘raja buah’ yang sinonim dengan julukan buah ‘kayangan’.

“Walaupun harga masih kekal, tetapi sambutan tahun ini kurang memberangsangkan. Mungkin disebabkan faktor ekonomi yang tidak menentu,” katanya ketika ditemui di tapak jualan di belakang Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian pada Khamis.

AHMAD Maher (kiri) melayan pelanggan yang ingin mendapatkan musang king di tapak jualan di belakang Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kota Bharu pada Khamis.

Menurut beliau, situasi cuaca tidak menentu termasuk hujan lebat dan ribut turut menjejaskan hasil musim kali ini.

Ujarnya, beliau menjangkakan tempoh menikmati musang king tahun ini cuma sekitar tiga minggu sahaja.

AHMAD Maher (kanan) memeriksa terlebih dahulu buah durian yang akan dijual bagi memastikan pelanggan berpuas hati.

Tambah Ahmad Maher lagi, kemasukan durian dari negara jiran yang lebih awal ke pasaran turut menjadi saingan, apatah lagi dengan harga yang lebih rendah. – Sinar Harian

Namun beliau memberi peringatan, durian import itu dipercayai mengandungi bahan kimia lebih tinggi berbanding buah tempatan.

Ahmad Maher yang mendapatkan bekalan dari kebun milik keluarganya berkata, meskipun cuaca tidak menentu, hasil yang diperoleh dijangka sekitar tiga hingga empat tan seminggu sepanjang musim ini.

Related Posts