Home NegaraKerajaan pandang serius insiden maut pekerja pelantar minyak, pastikan keselamatan diperkukuh – PM Anwar

Kerajaan pandang serius insiden maut pekerja pelantar minyak, pastikan keselamatan diperkukuh – PM Anwar

oleh suara timur

KUALA LUMPUR: Kerajaan memandang serius insiden maut membabitkan tiga pekerja kontraktor di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan semalam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di laman X, beliau berkata siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan pihak berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Anwar berkata kerajaan juga akan memastikan aspek keselamatan pekerjaan sentiasa diperkukuh demi melindungi kebajikan pekerja negara.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi dugaan yang amat berat ini dan moga mangsa yang sedang menerima rawatan dikurniakan kesembuhan segera,” katanya.

banner
TIGA pekerja kontraktor di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan yang maut semalam

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata kejadian berlaku pada 12.50 tengah hari semasa semua mangsa dipercayai menaiki sebuah bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform itu.

Bagaimanapun, tali atau cangkuk dipasang pada bot itu dipercayai tercabut menyebabkan semua mangsa terjatuh ke dalam laut bersama-sama bot.

Mereka yang maut ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Batu Berendam, Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, (Kuantan, Pahang); dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, (Bandar Indera Mahkota, Pahang).

Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan cedera parah dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Sementara itu, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam kenyataan hari ini mengesahkan insiden itu melibatkan tiga pekerja kontraktornya maut, manakala seorang lagi cedera parah dan memaklumkan siasatan berhubung punca insiden sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan. – Berita Harian

Tinggalkan komen