Negara

Sultan Kelantan titah segerakan pembinaan tembok, zon penampan Sungai Golok

KOTA BHARU:  Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah supaya cadangan untuk membina tembok dan zon penampan di kawasan Sungai Golok perlu dimuktamadkan segera.

“Beta memandang serius isu keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand. Maka cadangan itu perlu dimuktamadkan segera,” baginda bertitah semasa menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Isnin.

Turut mencemar duli, Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kerajaan Kelantan memerlukan RM445.748 juta untuk kos pengambilan balik tanah penduduk di kawasan sempadan Sungai Golok bagi pembinaan tembok dan zon penampan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nasuruddin Mohd Daud berkata, cadangan pembinaan tembok dan zon penampan adalah amat relevan bagi tujuan keselamatan sempadan negara.

Beliau berkata, Kelantan serius untuk membanteras jenayah penyeludupan dan mengatasi masalah banjir di kawasan Sungai Golok iaitu sepanjang 99 kilometer di sempadan Malaysia-Thailand. – Sinar Harian

Related Posts