PUTRAJAYA: Tiga pegawai yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat lalu akan dibebaskan dengan jaminan pada petang Selasa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ketiga-tiga individu itu dibebaskan selepas tempoh reman mereka tamat pada Selasa.
“Ya betul (dibebaskan dengan jaminan), daripada empat individu yang ditahan sebelum ini, seorang daripada mereka sudah dibebaskan pada Ahad, manakala baki tiga orang itu akan dilepaskan pada petang ini.
“Siasatan kes masih diteruskan selain memanggil saksi-saksi lain untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Azam berkata, pihaknya setakat ini tidak boleh memberi sebarang perincian tentang siasatan yang sedang dijalankan.
“Kita akan mengumumkan hasil selepas siasatan mengenai kes itu lengkap dan selesai,” katanya.
Pada Ahad, media melaporkan menahan empat bekas pegawai berkenaan.
Menurut sumber, tiga individu direman lima hari bermula Jumaat manakala seorang lagi direman tiga hari sebelum dibebaskan. – Sinar Harian