SYDNEY: Sebuah syarikat pembuat bot Australia, baru-baru ini, melakar sejarah apabila melancarkan kapal elektrik terbesar dunia, sepanjang 130 meter (m), yang mampu membawa seramai 2,100 penumpang.
Dikenali sebagai Hull 096 oleh syarikat pembina bot itu, Incat, aluminium gergasi berkenaan digerakkan oleh bateri lebih 250 tan bateri dan dibina khas untuk pengendali feri dari Amerika Selatan, Buquebus.
Kapal itu direka untuk membawa penumpang bersama 225 kenderaan merentasi Sungai Plate yang memisahkan Buenos Aires, Argentina dan Uruguay.
“Hull 096 membuktikan bahawa penyelesaian pengangkutan berskala besar dan rendah pelepasan bukan lagi impian – ia sudah tersedia sekarang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Incat, Stephen Casey dalam kenyataan selepas pelancaran di Sungai Derwent, Hobart, Tasmania.
Menurut Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sektor perkapalan kini menyumbang hampir tiga peratus kepada pelepasan gas rumah hijau global yang menjadi punca pemanasan dunia.
April lalu, negara-negara anggota IMO meluluskan sistem harga global baharu bagi mengekang pelepasan karbon daripada sektor maritim, dengan semua kapal diwajibkan beralih kepada campuran bahan api rendah karbon menjelang 2028 atau berdepan penalti kewangan.
Bagaimanapun, kumpulan pencinta alam memberi amaran bahawa peralihan kepada biogas juga menimbulkan isu lain, termasuk penebangan hutan, dan tidak cukup efektif untuk menangani pelepasan sektor perkapalan.
Menurut Incat, sistem bateri dan penyimpanan tenaga (ESS) Hull 096 menyediakan kapasiti lebih 40 megawatt jam, dibina oleh pengeluar enjin dari Finland, Wartsila, yang turut menyambungkan kuasa itu kepada lapan jet air elektrik.
“Feri memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan pengangkutan yang mesra alam, dan elektrifikasi kapal adalah kunci untuk sektor ini beralih kepada pelepasan sifar bersih,” kata Presiden Wartsila Marine, Roger Holm.
Menariknya, kapal ini asalnya dinamakan China Zorilla dan dirancang menggunakan gas asli cecair (LNG) sebelum diubah suai sepenuhnya menjadi jentera dikuasakan bateri. – Harian Metro