Mahkamah dan Jenayah

Suspek tembak rakyat Malaysia di Golok ditahan, miliki 2 kerakyatan

KOTA BHARU: Suspek yang dipercayai menembak rakyat Malaysia yang maut di sebuah rumah di Golok, Thailand petang kelmarin sudah ditahan pihak berkuasa Thailand.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan malam tadi selepas menyerah diri di Balai Polis Sungai Golok.

Sumber pasukan keselamatan, berkata semakan pihaknya mendapati suspek mempunyai dua kerakyatan iaitu Thailand dan Malaysia.

“Kita tangkap selepas suspek tampil menyerah diri malam tadi dan mempunyai dua dokumen pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi.

Semalam media melaporkan, rakyat Malaysia yang juga peniaga beg dan batu permata maut selepas dipercaya ditembak 18 das tembakan oleh dua individu dikenali di rumahnya di Golok, Thailand.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok jam 9 malam. – Berita Harian

Related Posts