Home Mahkamah dan JenayahKes kemalangan maut penuntut UniSZA : Pemandu Honda Jazz direman 4 hari

Kes kemalangan maut penuntut UniSZA : Pemandu Honda Jazz direman 4 hari

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: Pemandu Honda Jazz yang terbabit dalam kemalangan ngeri yang meragut nyawa penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di Jalan Kemajuan, Bukit Kecil, di sini, Isnin lalu direman di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 12 Januari ini dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Yuhanis Mohd Roslan selepas membenarkan permohonan dikemukakan polis, pagi tadi.

Suspek lelaki berusia 32 tahun itu tiba di perkarangan mahkamah jam 9.45 pagi sebelum permohonan reman dikemukakan bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian Isnin lalu, penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), yang maut dalam kemalangan ngeri membabitkan dua kenderaan dikatakan dalam perjalanan untuk mendapatkan permit mengajar di Jabatan Pendidikan negeri (JPNT), jam 1.38 tengahari.

banner

Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa Syakirah Hanan Mazli, 25, dalam perjalanan ke JPNT bagi mendapatkan permit mengajar praktikal di sebuah sekolah di Terengganu dijangka Mac depan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Deputi Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa sedang berhenti di lampu isyarat di lokasi kejadian.

Katanya, kereta dipandu mangsa dilanggar sebuah kereta yang datang daripada arah bertentangan ketika dia membelok ke kanan jalan sebaik lampu isyarat bertukar hijau.

Pemandu kereta jenis Honda Jazz berusia dalam lingkungan 32 tahun, berasal dari Kampung Bukit Cempaka, Tepoh, Kuala Nerus di sini, dikatakan dalam perjalanan daripada Jalan Kemajuan untuk pulang ke kampungnya.

Berikutan kemalangan itu, lelaki berkenaan mengalami kecederaan parah termasuk patah tangan kiri serta kecederaan pada leher dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). – Metro

Tinggalkan komen