KUALA TERENGGANU: Gara-gara bunga tayar haus, seramai 65 penumpang sebuah bas ekspres terkandas hampir satu jam selepas kenderaan itu ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pengarah JPJ Terengganu, Zamri Samion, berkata bas dua tingkat dari Kuala Terengganu ke Kajang, Selangor itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati bunga tayar kenderaan terbabit tidak menepati tahap ketebalan minimum yang dibenarkan.
Katanya, kesalahan itu dikesan ketika pemeriksaan Op Tahun Baharu Cina (TBC) kira-kira jam 10.30 malam, Sabtu lalu.
“Setiap bas ekspres akan diperiksa tahap ketebalan bunga tayar sebelum dibenarkan memasuki kawasan terminal untuk mengambil penumpang.
“Dalam pemeriksaan itu, dua tayar belakang kiri dan kanan didapati haus teruk dengan ketebalan bunga tayar hanya 1.25 milimeter (mm), iaitu kurang daripada had minimum yang dibenarkan iaitu 1.6 mm.
“Kita mengarahkan pemandu menukar tayar berkenaan dan sepanjang proses itu kita akan memantau bagi memastikan tayar yang ditukar selamat sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan pada jam 11.30 malam,” katanya pada sidang media hari terakhir Op TBC 2026 di Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, malam tadi.
Beliau berkata, kesalahan membabitkan bunga tayar haus adalah serius kerana boleh mengancam keselamatan serta nyawa penumpang.
Katanya, dalam Op TBC tahun ini, pihaknya merekodkan sebanyak dua kes kesalahan membabitkan bunga tayar haus.
“Kita memandang serius terhadap kesalahan membabitkan bunga tayar haus dan tidak akan berkompromi kerana ia membabitkan keselamatan penumpang,” katanya. – Berita Harian
