Home NegeriKelantan warta lima sungai untuk dulang emas

Kelantan warta lima sungai untuk dulang emas

oleh suara timur

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mewartakan lima kawasan sungai di negeri ini bagi membolehkan rakyat yang memiliki lesen untuk menjalankan aktiviti mendulang emas secara sah sebagaimana telah diumumkan sebelum ini.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian negeri Datuk Nik Raisnan Daud berkata, ia melibatkan Sungai Tadoh dan Pergau bagi jajahan Jeli, Galas (Gua Musang), Gentiang (Kuala Krai) serta Bertam (Tanah Merah).

Katanya, untuk fasa pertama kerajaan negeri memutuskan hanya empat jajahan dibenarkan untuk aktiviti tersebut.

“Bagaimanapun, rakyat diingatkan supaya kekal patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Hal ini bagi menjamin keselamatan mereka semasa mendulang emas di kawasan sungai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

banner

Mengulas lanjut, Nik Raisnan memberitahu, sebanyak 332 lesen mendulang emas telah dimohon oleh penduduk di negeri ini sejak kerajaan negeri membuat pengumuman berhubung perkara tersebut.

Katanya, daripada jumlah itu 110 permohonan lesen yang melengkapkan pembayaran sudah diproses selepas.

“Baki selebihnya masih dalam proses tapisan,” ujarnya.

Utusan Malaysia 1 Januari lalu melaporkan, rakyat negeri Kelantan mula memohon lesen mendulang emas selaras dengan pengumuman kerajaan negeri berhubung pelaksanaan aktiviti itu secara sah.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata penduduk dari Kota Bharu, Jeli, Tumpat serta Tanah Merah dilihat hadir ke kaunter Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri di Kompleks Kota Darulnaim untuk membuat permohonan berkenaan.

Pada 10 November tahun lalu, Kerajaan Kelantan akan membenarkan rakyat di negeri ini melombong emas menggunakan kaedah mendulang.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya akan mengeluarkan lesen mengikut syarat-syarat tertentu sebagai rekod. – Utusan

Tinggalkan komen