Home Negeri400 penduduk bimbang kehadiran beruang Matahari di Kampung Padang Ping

400 penduduk bimbang kehadiran beruang Matahari di Kampung Padang Ping

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Kira-kira 400 penduduk di Kampung Padang Ping dekat sini bimbang dengan kehadiran seekor beruang Matahari yang berkeliaran di kampung mereka sejak tiga hari lalu.

Beruang Matahari berkenaan dipercayai telah tersesat dari hutan berhampiran dan masuk ke kawasan kampung untuk mencari makanan.

Seorang penduduk, Hamzah Ahmad berkata, penduduk telah beberapa terserempak dengan binatang liar itu yang dilihat berkeliaran di kawasan kampung ini.

“Situasi itu amat membimbangkan apabila beruang berkenaan sudah semakin menghampiri rumah penduduk menyebabkan penduduk takut untuk keluar ke kebun dan menjalani rutin harian,” katanya ketika ditemui hari ini.

Rohani Mat Nor pula berkata, dia takut membuka pintu rumah kerana dikhuatiri beruang itu memasuki rumahnya.

“Anak-anak saya juga sering keluar ke kedai berdekatan pada waktu malam dan bimbang akan tersempak dengan beruang tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ketika dihubungi memaklumkan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah memasang sebuah perangkap di lokasi beruang berkenaan sering berkeliaran.

Pada masa sama, beliau mengingatkan penduduk kampung berkenaan sentiasa berwaspada dan berhati-hati demi menjaga keselamatan mereka serta mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini. – Suara Timur

banner

Tinggalkan komen