MANJUNG: Seorang lelaki meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai gotong-royong penyembelihan lembu korban sempena Aidiladha di Kampung Sungai Rumput, Kampung Sitiawan di sini, semalam.
Mangsa dikenali sebagai Radzuan Nanyan, 50, dikatakan rebah di kawasan padang kampung itu yang menjadi lokasi ibadah korban dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman, berkata mangsa mulanya dilaporkan pengsan sejurus selesai penyembelihan lembu ketiga sebelum dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Seri Manjung.
“Mangsa pengsan di tempat kejadian selepas gotong-royong penyembelihan lembu ketiga itu sebelum disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, bedah siasat dijalankan mengesahkan punca kematian disebabkan serangan jantung dengan kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR).
Difahamkan, mangsa terbabit secara aktif dalam gotong-royong ibadah korban membabitkan beberapa ekor lembu di kawasan kariah itu.
Dalam rakaman video tular, penduduk kampung dilihat memberikan kerjasama penuh bagi membantu urusan membawa mangsa ke hospital menaiki ambulans sebaik insiden itu berlaku. – Berita Harian