Negeri Sukan

Litar lumba baharu cadang dibina di Kemaman


KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu sedang meneliti cadangan pembinaan kompleks sukan permotoran baharu di Kemaman sebagai usaha menyediakan kemudahan sukan yang lebih tersusun dan selamat kepada golongan belia.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, cadangan itu dikemukakan oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Menurutnya, ia melibatkan kawasan seluas 138.280 hektar (341.696 ekar) di Lot PT 9040, Mukim Banggol yang terletak berhampiran Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan Jalan Cheneh Bypass.

Katanya, lokasi berkenaan dikenal pasti strategik serta sesuai untuk dibangunkan sebagai kompleks sukan permotoran.

“Cadangan ini dikemukakan berdasarkan beberapa isu utama yang telah dikenal pasti, khususnya peningkatan kegiatan lumba haram kereta dan motosikal di kawasan setempat.

“Justeru, pembinaan litar ini dilihat sebagai langkah penyelesaian bagi menyediakan lokasi rasmi dan terkawal untuk penganjuran acara perlumbaan yang sah di sisi undang-undang.

“Selain itu, projek ini juga berpotensi menjadi platform untuk mengumpulkan peminat sukan permotoran serta mengenal pasti bakat- bakat baharu dalam kalangan belia,” katanya.

Beliau menjawab soalan Riduan Mohamad Nor (PAS-Jerteh) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini.

Riduan minta menyatakan sejauh mana Kerajaan Negeri Terengganu mengenal pasti kawasan baru bagi pembangunan kompleks litar lumba bagi anak muda di daerah-daerah selain Kuala Nerus.

Menurut beliau, pembinaan litar itu juga berpotensi merancakkan sektor pelancongan sukan dan menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam bidang permotoran.

“Dari sudut ekonomi, pelaksanaan projek ini dijangka mampu merancakkan aktiviti pelancongan tempatan melalui penganjuran program-program berasaskan pelancongan sukan,” katanya.

Tambahnya, permohonan rasmi telah dikemukakan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) dan seterusnya dipanjangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia pada 4 Oktober 2020, 14 Disember 2021 dan 4 Jun 2023.

Namun begitu, katanya, cadangan projek itu tidak mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan persekutuan.

“Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan negeri akan meneliti semula cadangan pembangunan litar permotoran dengan lebih menyeluruh termasuk di daerah-daerah lain selain aspek impak sosial serta pendekatan pelaksanaan yang lebih holistik dan berdaya maju,” katanya. – Harakahdaily

Related Posts