Home NegeriPemilik ‘rumahku rakitku’ meninggal dunia

Pemilik ‘rumahku rakitku’ meninggal dunia

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Individu di sebalik idea unik ‘rumahku rakitku’ yang pernah mencuri perhatian ramai, A. Bakar Che Ahmad, meninggal dunia pada usia 71 tahun, tengah hari tadi.

Allahyarham yang mesra dikenali sebagai Pokwe menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1.45 tengah hari di kediamannya di Kampung Tebak, di sini, selepas bertarung dengan penyakit kanser hempedu.

Pemergian beliau bukan sahaja dirasai keluarga, malah turut meninggalkan kesan kepada masyarakat setempat yang mengenali inovasinya—membina rumah yang mampu terapung ketika banjir, satu idea luar kebiasaan yang lahir daripada pengalaman hidup berdepan bencana.

banner
KEADAAN rumah milik A. Bakar Che Ahmad yang terapung ketika banjir di Kampung Tebak, Kemaman.

Anak sulungnya, Kamaruddin, 43, berkata bapanya sebelum ini menerima rawatan di Hospital Kemaman sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

“Ayah baru sahaja dibenarkan pulang dari HSNZ tiga hari lalu selepas dirawat selama 12 hari di sana dan hampir seminggu di Hospital Kemaman.

“Namun, keadaan kesihatannya semakin merosot. Pagi tadi dia masih kelihatan okey, tetapi menjelang tengah hari, ayah sudah tidak memberi sebarang tindak balas sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham seorang yang kreatif dan sentiasa memikirkan solusi untuk membantu orang lain, khususnya dalam menghadapi situasi banjir yang sering melanda kawasan itu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebak kira-kira pukul 6.20 petang tadi, diiringi lebih 100 ahli keluarga serta kenalan yang hadir memberikan penghormatan terakhir.

Pemergian A. Bakar meninggalkan legasi tersendiri, seorang insan biasa dengan idea luar biasa, yang menjadikan rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi juga penyelamat ketika bencana. – Suara Timur

Tinggalkan komen