Home NegeriWarga emas maut dihempap jentera pembajak dipandu

Warga emas maut dihempap jentera pembajak dipandu

oleh suara timur

KUALA BERANG: Lelaki warga emas maut dihempap jentera pembajak yang dipandunya selepas jentera itu terbabas sebelum terbalik dan menghempapnya di Kampung Pengkalan Ajal, Ajil, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa Mansor Mamat, 71, berasal dari Jalan Mawar Felda Tersat, dekat sini.

Menurutnya, kejadian berlaku di Kilometer (KM) 11 Jalan Trafik Light Paya Besar-Pengkalan Ajal membabitkan sebuah jentera pembajak yang terbabas.

Katanya, mangsa difahamkan dari Pejabat Felda Tersat menghala ke kebunnya di Kampung Pengkalan Ajal.

banner

“Siasatan awal mendapati mangsa memandu jentera pembajak di kawasan kebun kira-kira 1.30 tengah hari dalam keadaan hujan lebat.

“Secara tiba-tiba jentera pembajak itu tergelincir dan terbalik lalu jatuh ke bawah tebing sebelah kiri lalu dan menghempap mangsa,” katanya.

Beliau berkata, akibat kejadian itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Metro

Tinggalkan komen