SETIU: Ketika usianya baru mencecah setahun enam bulan, Mohamad Aisy Naufal Mohd Fathli berdepan ujian berat apabila bakal kehilangan dua mata yang terpaksa dibuang akibat kanser mata tahap empat.
Bukan itu sahaja, kanak-kanak yang mesra dengan panggilan Adam dalam kalangan keluarganya itu turut berdepan dengan kekangan kewangan untuk kos pembedahan dan rawatan susulan.
Ibunya, Nurul Hidayah Rosdi, 33, berkata, dia mengetahui anaknya mengidap kanser selepas membuat pemeriksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada Oktober 2024.
Katanya, sebelum ini anak bongsu daripada tiga beradik itu dilahirkan normal pada Julai 2024 serta tidak pernah menunjukkan sebarang masalah kesihatan.
“Namun ketika dalam pantang saya perasan bola mata sebelah kiri Adam tidak begitu kelihatan tetapi menganggap itu normal kerana masih kecil.
“Saya mula tergerak hati untuk membuat pemeriksaan di hospital apabila mata Adam bengkak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Grebar, Guntung di sini, hari ini.
Menurut Nurul Hidayah, doktor mengesahkan anaknya mengidap kanser mata tahap empat dan perlu menjalani rawatan segera.
“Dalam tempoh setahun kedua-dua mata Adam bergilir-gilir bengkak tetapi kembali kecut tidak lama kemudian. Tetapi kini mata kirinya pula bengkak teruk.
“Doktor memaklumkan Adam perlu menjalani rawatan kemoterapi sebelum dan selepas pembedahan membuang bebola mata di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan pada tahun ini,” katanya.
Nurul Hidayah berkata, pada awalnya dia berat hati untuk membenarkan anaknya menjalani rawatan kemoterapi namun sokongan positif keluarga dia kuatkan semangat untuk melihat anaknya sembuh.
Katanya, dia dan suami Mohd Fathli Abd Ghani, 38, hanya bergantung kepada pendapatan kerja kampung serta menjual burger untuk menampung keperluan keluarga.
“Saya sendiri turut mempunyai masalah kesihatan batu dalam hempedu dan perlu menjalani pembedahan untuk membuang ‘stent’.
“Namun saya terpaksa tangguh dahulu rawatan kerana mahu menumpukan perhatian kepada anak.
“Setakat ini saya difahamkan kos pembedahan dan rawatan susulan Adam dianggarkan lebih RM10,000 dan jumlah itu agak membebankan bagi kami,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB 7622345311 milik Nurul Hidayah Rosdi. – Metro
