Negeri

Hingga bila Pusat nak tangguh pembinaan LPT3?

KUALA TERENGGANU: Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Negeri Terengganu, Ahmad Fahmi Mokhtar memberitahu, perjalanan biasa dari Pasir Mas, Kelantan ke Kuala Terengganu biasanya mengambil masa hanya 3 jam.

Namun menurutnya, laluan sama sempena cuti perayaan Aidilfitri terpaksa menempuh perjalanan selama 7 jam, selain berdepan kesesakan tersekat di atas jalan yang paling lama berlaku terutama di Setiu-Gemuruh.

“Kenapa sini terlalu sesak? Sebab kereta nak masuk ke LPT2 (Lebuh Raya Pantai Timur 2) dari Besut, Setiu dan pelbagai daerah dari Kelantan beratur di sini. Semua perantau akan terlintas benda yang sama bila lalu jalan nie, ‘Bila la nak buat LPT3’?

“Sedangkan kajian kemungkinan (feasibility study) telah dibuat pada 2009 lagi dengan anggaran kos sebanyak RM2.8 bilion. Siap dari Gemuruh sampai Pengkalan Kubur iaitu sejauh 147 kilometer (km).

“Tahun 2022 dilakukan sekali lagi kajian awal untuk pembinaan LPT3, kali ini cadangannya Gemuruh hingga ke Tunjung dengan jarak 124km dan kos sebanyak RM9.8 bilion,” ujarnya.

Menurut penyelidik itu, penangguhan selama 15 tahun telah menyebabkan kos sudah menaik sebanyak RM7 bilion dan sekiranya ia terus ditangguhkan lagi mungkin akan berlaku peningkatan yang lebih banyak.

Kata beliau, sudah masanya untuk Kerajaan Persekutuan membina LPT3 dengan segera dari Gemuruh, Terengganu ke Tunjung atau Pengkalan Kubor, Kelantan bagi mengatasi masalah kesesakan itu selain mengelak peningkatan kos.

“Kadangkala terasa juga dalam hati, kita di Terengganu dan Kelantan dihisap hasil petroleum, disalur gas ke seluruh negara, minta LPT3 pun berbelas tahun tak dapat-dapat.

“LPT2 yang siap pada 2015 itu pun, guna duit Kerajaan Negeri Terengganu (royalti) dalam RM 1.8 bilion atau RM 2 bilion. Sedangkan lebuh raya ni bidang kuasa Persekutuan. Di Terengganu, negeri yang kena keluar duit.

“Tapi Pulau Pinang, minta LRT (transit aliran ringan) kos RM17 bilion, mudah-mudah je mereka dapat. Ni depa (Pulau Pinang) minta lebuh raya pula satu lagi kos pun dijangkakan dalam RM10 bilion.

“Bukan nak dengki atau banding-banding, sebagai anak negeri dan pemastautin kita agak terguris dengan cara semangat Federalisme diamalkan di negeri Pantai Timur sejak puluhan tahun dan diteruskan hingga kini.

“Ada dua hal yang tidak tersambung dari Terengganu ke Kelantan. Satu, pipeline gas. Dua, lebuh raya. Kemudian kau (walanon) dengan bangganya bandingkan negeri kami dengan negeri yang disistemkan untuk maju sejak puluhan tahun?” persoalnya membidas. – Harakahdaily

Related Posts