KUALA TERENGGANU: Safety particulate respirators (topeng) dan gogal merupakan peralatan ampuh buat pengusaha kuih tradisional akok, kuih bakar kelapa ‘berperang’ dengan asap bagi memudahkan proses pembakaran dilakukan tanpa memedihkan mata.
Pengusaha, Nor Azilah Ali, 42, dari Kampung Padang Tengir, Manir, dekat sini berkata, dia menggunakan alat berkenaan kerana tidak tahan ketika berdepan asap tebal dan bahang api sepanjang proses membakar kuih tradisional itu
Menurutnya, kuih bakar dan akok yang dijual akan dibakar menggunakan tempurung dan sabut kelapa, kayu api serta arang yang menghasilkan asap tebal hingga memedihkan mata serta kerongkong.
Katanya, menggunakan kaedah menutup muka dengan kain akan merimaskan dan ia tidak efisien kerana kepulan asap akan tetap memedihkan mata.
“Justeru, topeng adalah kaedah paling ampuh, membolehkan kami melakukan pembakaran kuih dengan lebih mudah tanpa perlu ke hulu ke hilir melarikan diri untuk mengelak kepulan asap.
“Walaupun dilihat seperti sedang melakukan semburan kabus namun ia dapat mempercepatkan proses pembakaran kuih untuk dijual kepada pelanggan,” katanya.
Menurutnya, idea itu timbul apabila adik iparnya yang bekerja di dalam sektor minyak dan gas (OAG) menyarankan penggunaan alat berkenaan bagi mengatasi masalah ‘pedih mata’ ketika pembakaran kuih dilakukan.
Katanya, sebelum ini dia membakar kuih itu tanpa gunakan apa-apa alatan namun dengan menggunakan topeng dan gogal kerjanya menjadi semakin mudah
Nor Azilah berkata, walaupun terdapat pelbagai kaedah moden untuk membakar kuih berkenaan namun dia memilih untuk mengekalkan cara tradisional kerana kaedah itu menghasilkan aroma kuih yang berbeza berbanding penggunaan alatan moden.
“Kuih-kuih ini boleh dimasak menggunakan dapur gas kecuali kuih bakar, tidak boleh kerana kuih itu perlu menggunakan bahan bakar di bahagian atas dan bawah kuih.
“Oleh itu, kaedah pembakaran secara tradisional amat perlu bagi memastikan kuih yang dihasilkan masak dengan sempurna.
“Sekarang masalah mata berair dan panas kerongkong tidak lagi timbul dan membolehkan kami ‘bertarung dengan asap’ bermula 2 petang hingga kuih habis dijual,” katanya.
Menurutnya, dia menggunakan alatan itu sejak empat tahun lalu dan sepanjang Ramadan permintaan terhadap kuih yang dihasilkan meningkat hingga mencecah 1,500 biji sehari.
Nor Azilah berkata, akok dijual dengan harga RM1 sebiji, manakala kuih bakar RM2 untuk tiga biji.
“Mungkin orang lihat pelik namun bagi kami alat ini ibarat talian hayat untuk mempercepatkan proses penyediaan kuih sebelum dijual.
“Mungkin sesetengah orang ingat kami suka-suka menggunakan alat ini, namun mereka tidak tahu bertapa sukarnya berhadapan dengan asap yang memedihkan mata,” katanya. – Metro
